'Rangnick perlu diberikan lebih masa'

Ronaldo (kanan) percaya Rangnick memerlukan lebih masa bagi membentuk kembali Manchester United yang lebih mantap. - Foto AFP
Ronaldo (kanan) percaya Rangnick memerlukan lebih masa bagi membentuk kembali Manchester United yang lebih mantap. - Foto AFP
A
A
A

PENYERANG Manchester United, Cristiano Ronaldo menyokong pendekatan pengendali sementara The Red Devils, Ralf Rangnick untuk meningkatkan kembali prestasi kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) tersebut.

Namun bekas tonggak Juventus itu menegaskan pengurus dari Jerman tersebut juga memerlukan masa untuk menterjemahkan ideanya seterusnya meningkatkan prestasi pasukan.

“Sejujurnya sejak Rangnick tiba dia telah mengubah banyak perkara di Manchester United.

“Tetapi dia memerlukan masa untuk menyampaikan ideanya kepada pemain. Saya percaya dia akan melakukan kerja yang baik. Saya tahu kami tidak bermain dalam tahap terbaik tetapi masih mempunyai banyak perlawanan untuk diperbaiki selepas ini.

“Sejak dia tiba, saya rasa dalam beberapa perkara kami kini menjadi lebih baik, namun bukan semudah itu untuk mengubah mentaliti pemain dan cara mereka bermain, budaya, sistem seperti itu,” kata Ronaldo.

Rangnick yang dilantik sehingga penghujung musim berikutan pemecatan Ole Gunnar Solskjaer pada November selepas keputusan buruk, menyaksikan pengendali berusia 63 tahun itu berdepan pelbagai soalan daripada media mengenai pemain yang tidak berpuas hati dengan kaedahnya.

Manchester United mengalami kekalahan pertama di bawah Rangnick apabila dikejutkan Wolverhampton Wanderers 1-0 kini menduduki tempat ketujuh liga dengan 31 mata pada separuh akhir musim.

Pada masa sama tonggak Portugal itu menyifatkan untuk berada luar dari kelompok tiga teratas saingan liga bukanlah mentaliti The Red Devils.

Artikel Berkaitan:

“Saya tidak terima mentaliti kami kurang daripada berada dalam tiga teratas. Saya percaya untuk membina perkara baik, kadangkala anda perlu memusnahkan beberapa perkara. Jadi mengapa tidak pada tahun baharu dibina kehidupan baharu dan saya harap United berada pada tahap dimahukan peminat. Mereka berhak mendapatnya.

“Kami mampu mengubah keadaan sekarang. Saya tahu caranya tetapi saya tidak akan menyebutnya di sini kerana rasanya tidak beretika di pihak saya untuk mengatakan itu. Apa yang boleh saya katakan ialah kita boleh melakukan lebih baik - semuanya daripada kami... saya di sini untuk cuba menang, bersaing,” kata Ronaldo..