Malaysia-Korea Selatan kukuhkan hubungan 2 hala sektor tenaga

Foto FB Kementerian Tenaga dan Sumber Asli
Foto FB Kementerian Tenaga dan Sumber Asli
A
A
A
KUALA LUMPUR - Malaysia komited dalam melaksanakan peralihan tenaga ke arah industri bekalan elektrik yang rendah karbon, selaras dengan aspirasi negara mencapai pelepasan gas rumah kaca (GHG) bersih pada 2050.

Perkara itu dinyatakan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam ucap utamanya di Bengkel Kerjasama Tenaga Malaysia-Korea Selatan Ke-10 pada Khamis.

Menerusi kenyataan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), bengkel itu menyediakan platform untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman mengenai usaha kedua-dua negara dalam peralihan tenaga.

Selain itu, ia memberi ruang untuk meneroka peluang dan potensi kerjasama dalam sektor tenaga elektrik bersama pihak industri dari Korea Selatan.

“Sepanjang tempoh pelaksanaan kerjasama ini, Malaysia mendapat manfaat dari aspek pembangunan modal insan serta kepakaran teknikal melibatkan agensi kerajaan dan swasta terutamanya dalam bidang tenaga boleh baharu, kecekapan tenaga serta aplikasi dan teknologi nuklear,” menurut kenyataan itu pada Khamis.
Artikel Berkaitan:


Kenyataan itu memaklumkan Takiyuddin dalam ucapannya turut mempelawa syarikat Korea Selatan yang berpangkalan di Malaysia merebut peluang untuk melanggan Green Energy Tariff (GET) demi memenuhi komitmen ‘Environmental, Social, and Corporate Governance’ (ESG).

Menurut kenyataan itu, semasa bengkel tersebut Menteri dan Duta Besar Korea Selatan ke Malaysia Lee Chi Beom turut menyaksikan majlis pemeteraian perjanjian antara Confreth Sdn Bhd dengan Konsortium Korea dalam projek pembangunan teknologi bangunan cekap tenaga. - Bernama