Pensyarah syukur anak tak jadi mangsa pengganas

Empat anak bersama suami Zurina. (Gambar kecil: Zurina)
Empat anak bersama suami Zurina. (Gambar kecil: Zurina)
A
A
A

SHAH ALAM - Pensyarah dari Fakulti Perhotelan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam bersyukur tiga anaknya tidak menjadi mangsa serangan pengganas di Masjid Al Noor di Christchurch, New Zealand.

Zurinawati Mohi, 48 yang merupakan isteri kepada seorang rakyat Malaysia yang cedera dalam kejadian itu, Nazril Hisham Omar, 49, berkata, ketiga-tiga anaknya Muhammad Haqiem Daniel, 18, Muhammad Hazieq Daniel, 14 dan Muhammad Hazriq Daniel, 10 tidak solat Jumaat kerana ada aktiviti di sekolah.

Beliau yang mesra disapa Zurina berkata, lazimnya mereka akan mengikuti suaminya untuk solat Jumaat jika suaminya itu bekerja syif petang.

“Selepas mengetahui kejadian yang berlaku, saya menghubungi Hazriq tetapi tidak berjaya. Tidak lama kemudian Hazieq memaklumkan kesemua mereka berada sekolah.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Saya hanya tahu suami cedera'

“Minggu ini suami saya syif petang, masuk jam 4 petang. Jadi dia tidak dapat membawa anak-anak ke masjid kerana mereka ada aktiviti di sekolah. Jika tidak, saya tidak dapat fikirkan apa yang berlaku. Alhamdulillah ya ALLAH,” katanya sebak kepada Sinar Harian.

Menceritakan bagaimana beliau mengetahui kejadian yang menimpa suaminya itu, Zurina berkata, beliau baru tiba di Hatyai membawa rombongan pelajar UiTM.

“Saya terus roaming talian telefon dan menghubungi suami tetapi tiada jawapan. Kemudiannya anak memaklumkan mendapat panggilan daripada hospital mengatakan suami cedera ditembak.

Artikel Berkaitan:

“Bagaimanapun, anak saya tidak dapat masuk hospital kerana kawalan ketat polis. Sebab itu saya tidak tahu bagaimana dengan kecederaannya. Saya hanya tahu dia ditembak,” katanya yang memaklumkan suami dan tiga anak menetap di Christchurch sejak 21 Januari lalu.

Katanya, beliau tidak menyangka tragedi itu berlaku terhadap suaminya kerana baru pulang dari New Zealand, Selasa lalu.

“Saya bertemu keluarga di sana pada 25 Februari lalu. Cadangnya saya akan ke sana hari raya puasa nanti,” katanya yang akan ke negara berkenaan, esok.

Dalam pada itu, Zurina memohon bantuan semua rakyat Malaysia supaya mendoakan keselamatan mangsa cedera termasuk suaminya.

Nazril Hisham antara tiga rakyat Malaysia yang dilaporkan cedera ditembak pengganas. Selain Nazril Hisham, dua lagi mangsa serangan pengganas itu adalah Mohd Tarmizi Shuib dan Rahimi Ahmad.

Kesemua mereka kini dirawat di Hospital Christchurch.