Reformasi Parlimen perangi rasuah

Yap Swee Seng
Yap Swee Seng
A
A
A

SHAH ALAM - Cadangan menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi memantapkan usaha memerangi gejala rasuah di negara ini perlu disegerakan.

Pengarah Eksekutif Bersih 2.0, Yap Swee Seng berkata, menjadi satu keutamaan untuk negara memiliki satu badan pencegahan rasuah yang bebas dan telus dalam melaksanakan tanggungjawab diamanahkan.

Katanya, cadangan penubuhan jawatankuasa khas tersebut dilihat penting terutama dalam usaha mereformasikan peranan Parlimen terhadap usaha membanteras isu rasuah yang berleluasa di negara ini.

"Namun perkara itu masih tidak mencukupi sekiranya kita ada satu badan yang bebas, tetapi siapa pula yang akan mengawal selia badan yang bebas ini?

"Maka Parlimen perlu memainkan peranan dan cadangan daripada kami rakan gabungan Rasuah Busters berhubung perkara ini adalah menubuhkan satu Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.

"Sekarang ini, kita (negara) masih tidak ada jawatankuasa sedemikian di dalam Parlimen. Kita perlu jawatankuasa yang khas seperti ini ditubuhkan secepat mungkin," katanya pada Khamis.

Beliau berkata demikian pada sidang media #RasuahBusters: Solusi Transformasi SPRM yang dibawakan secara langsung di semua platform #RasuahBusters dan Sinar Harian.

Mengulas lanjut, Swee Seng berkata, antara peranan jawatankuasa khas tersebut adalah membuat saringan terhadap calon-calon yang dinamakan untuk berada dalam Suruhanjaya Bebas Pencegahan Rasuah (IGCC).

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, kesemua calon yang dipilih perlu dipastikan mempunyai integriti tinggi dan sama sekali tidak mempunyai sebarang pertuduhan salah laku.

Selain itu menurutnya, jawatankuasa khas ini berperanan menerima laporan dan menjalankan siasatan sekiranya berlaku sebarang pendakwaan melibatkan aktiviti rasuah.

"Ini merupakan peranan yang cukup penting untuk dilaksanakan. Solusi yang dicadangkan pada hari ini adalah jalan terbaik menyelesaikan segala permasalahan yang timbul," katanya.