X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 07 Julai 2022

Sebutan kes Azam Baki saman Lalitha 15 Februari

Azam Baki - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR – Sebutan kes saman RM10 juta oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki terhadap bekas penyelidik Pusat Memerangi Kronisme dan Korupsi (C4), Lalitha Kunaratnam ditetapkan pada 15 Februari depan.

Menerusi semakan senarai kes mahkamah, pengurusan kes itu ditetapkan pada jam 9 pagi di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Noordura Mohamed Din.

Azam memfailkan writ saman itu selaku plaintif menerusi firma guaman, Tetuan Zain Megat & Murad di Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu, dengan menamakan Lalitha sebagai defendan tunggal.

Menerusi pernyataan tuntutan berkenaan, plaintif menuntut ganti rugi RM10 juta kerana menjejaskan nama baik, reputasi profesional dan kedudukan plaintif di mata SPRM, badan penguat kuasa dan orang awam.

“Defendan dikehendaki membuat permohonan maaf secara bertulis kepada plaintif dalam tempoh 14 hari dari tarikh Surat Tuntutan, memadam dan menurunkan kenyataan fitnah serta sindiran yang menjejaskan reputasi dan persepsi orang awam terhadapnya.

“Namun, defendan secara angkuh memuat naik surat tuntutan tersebut di laman Twitter miliknya dan sehingga ke tarikh pemfailan tindakan ini, menerima lebih 200 komen, 3,500 ciapan semula dan 4,500 tanda suka,” kata Azam.

Lebih teruk lagi Azam berkata, pengikut Twitter defendan secara berterusan mengejek bukan sahaja plaintif, malah SPRM dan peguamcaranya yang hanya menjalankan tugas profesional mereka.

Plaintif berkata, pada 26 Oktober 2021 dan sebagaimana yang diterbitkan semula pada 15 Disember 2021, defendan telah mengarang atau menyebabkan penerbitan artikel dalam portal berita atas talian yang dikenali sebagai Independent News Service.

Ia bertajuk ‘Business Ties Among MACC Leadership: How Deep Does It Go?’ (bahagian satu) dan ‘Business Ties Among MACC Leadership: How Deep Does It Go?’ (bahagian dua).

Azam mendakwa, artikel dan dan ciapan yang dibuat Lalitha memberi gambaran bahawa plaintif mempunyai saham dalam dua syarikat berbeza iaitu Gets Global Berhad dan KBES Berhad.

Walhal katanya, ia adalah syarikat yang sama dan semasa transaksi pembelian saham berkenaan, syarikat terbabit masih dikenali sebagai KBES Berhad.

Menurut plaintif, ia juga umpama menunjukkan plaintif kononnya mempunyai saham dalam jumlah yang melampau iaitu sebanyak 1,930,000 dan 1,090,500 unit saham, walhal kedua-keduanya adalah merujuk kepada saham yang sama.

Ia juga menunjukkan plaintif selaku seorang pegawai tinggi kerajaan mempunyai kekayaan melampau apabila mampu membeli saham dan waran yang kononnya bernilai jutaan ringgit.

Sedangkan katanya, akaun yang dibuka adalah untuk manfaat adiknya di mana plaintif telah menandatangani borang berkenaan untuk menamakan adik plaintif sebagai penama kepada akaun berkaitan.

Selain itu, artikel itu juga menunjukkan kononnya plaintif mempunyai konglomerat perniagaan yang besar bersama Radzuan Baki, Nasir, Mohamad Hazmi Abu Kassim, Lim Kok Han dan Mohd Aswadi Mat Zain sedangkan hakikatnya plaintif tidak mempunyai apa-apa kepentingan langsung dalam apa-apa atau mana-mana konglomerat.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!