Cucu bekas Mufti Brunei dipilih graduan terbaik

Hasni menyampaikan Anugerah Menteri Besar Johor kepada Muqarrabah Labiibah pada Majlis Istiadat Konvokesyen ke-20 Kolej Pengajian Islam Johor (Marsah) di Johor Bahru pada Khamis.
Hasni menyampaikan Anugerah Menteri Besar Johor kepada Muqarrabah Labiibah pada Majlis Istiadat Konvokesyen ke-20 Kolej Pengajian Islam Johor (Marsah) di Johor Bahru pada Khamis.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Cucu kepada bekas Mufti Brunei dipilih sebagai graduan terbaik sempena Istiadat Konvokesyen Kolej Pengajian Islam Johor (Marsah) kali Ke-20 pada Khamis.

Muqarrabah Labiibah Sadini, 22, turut menerima empat anugerah utama iaitu Anugerah Sekolah Pengajian Islam, Anugerah Rektor Marsah, Anugerah Sohibul Samahah Mufti Johor dan Anugerah Menteri Besar di atas kecemerlangan akademiknya.

Muqarrabah Labiibah yang menerima Diploma Tahfiz al-Quran Wal Qiraat bercita-cita mahu menjadi guru agama, seterusnya mengikut jejak langkah datuknya.

"Syukur saya mendapat keputusan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.95. Saya mahu ikut jejak langkah datuk dan ibu saya yang merupakan guru agama di Sekolah Menengah Agama Bugisiah Tampok Benut, Pontian," katanya ketika ditemui pada Khamis.

Anak kelahiran Brunei itu berkata, dia akan memperuntukkan masa kira-kira sejam selepas solat Maghrib dan Isyak serta sebelum dan selepas waktu Subuh untuk menghafal al-Quran.

"Saya mahu kembali berbakti kepada Marsah sebagai seorang pensyarah. Saya kini sedang menyambung pengajian melalui program pendidikan jarak jauh (PJJ) di Universiti Terbuka Malaysia (OUM) dalam bidang Pengurusan Islam," katanya.

Pada majlis istiadat itu, seramai 835 graduan Marsah berjaya menamatkan pengajian masing-masing dalam pelbagai bidang dan pengkhususan.

Majlis istiadat konvokesyen itu berlangsung di Dewan Besar Pusat Islam Iskandar dan disempurnakan Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad.

Artikel Berkaitan: