Lebuh raya tertinggi di Malaysia, Jalan Bukit Kukus dibuka

Jalan Berkembar Jalan Paya Terubong (Bukit Kukus) mempunyai ketinggian 61.5 meter.
Jalan Berkembar Jalan Paya Terubong (Bukit Kukus) mempunyai ketinggian 61.5 meter.
A
A
A

GEORGETOWN - Jalan Berkembar Jalan Paya Terubong (Bukit Kukus) Fasa 1 di sini yang bernilai RM378.2 juta dibuka secara rasmi kepada orang ramai bermula Khamis.

Projek tersebut adalah lebuh raya tertinggi di Malaysia dengan ketinggian 61.5 meter selain menyediakan lorong basikal di sepanjang jalan berkembar tersebut.

Majlis perasmian disempurnakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow yang disaksikan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Datuk Yew Tung Seang; Exco Kerajaan Pulau Pinang dan beberapa wakil rakyat negeri.

Projek yang menelan belanja RM378.2 juta itu merupakan laluan alternatif kepada kira-kira 60,000 penduduk di kawasan Paya Terubong dan Air Itam untuk berhubung ke kawasan Bukit Jambul, Bukit Gambir, Balik Pulau dan kawasan sekitarnya.

Kon Yeow berkata, lebuh raya tertinggi di Malaysia sepanjang 3.825 kilometer (km) itu diharap dapat menyelesaikan 30 peratus masalah trafik terutamanya Jalan Paya Terubong dan Lebuhraya Thean Tek/Jalan Bukit Kukus yang sering mengalami kesesakan pada waktu puncak.

Menurutnya, keseluruhan projek berkenaan merangkumi tiga segmen atau konsesi iaitu MBPP, syarikat Geo Valley Sdn Bhd Development dan syarikat PLB Land Sdn Bhd Development.

Katanya, ia melibatkan pembinaan projek jalan sejauh 5.5 km dengan kos keseluruhan RM545.6 juta.

Artikel Berkaitan:

Majlis perasmian pembukaan disempurnakan Kon Yeow pada Khamis.
Majlis perasmian pembukaan disempurnakan Kon Yeow pada Khamis.

"Projek ini dijanjikan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Bukit Gelugor pada 2014 dan mula dibina pada 14 Januari 2016. Projek di bawah MBPP ini siap dibina pada 24 Disember tahun lalu setelah beberapa skop kerja dilaksanakan.

"Antara skop kerja yang terlibat adalah pelebaran dan menaik taraf persimpangan Lebuhraya Thean Teik/Jalan Bukit Kukus sepanjang 0.6 km, pelebaran sebahagian Jalan Bukit Kukus sedia ada sepanjang 0.6 km serta pembinaan persimpangan jejambat dari Jalan Berkembar Jalan Paya Terubong ke Jalan Tun Sardon sedia (0.825km)," katanya.

Sementara itu, Tung Seang berkata, Pulau Pinang kini mengalami perkembangan pesat yang mana ia memerlukan infrastruktur yang dapat mengimbangkan 'carrying capacity' masa kini dan masa hadapan.

Tambahnya, projek pembinaan Jalan Berkembar Jalan Paya Terubong (Bukit Kukus) merupakan projek istimewa bagi MBPP berikutan ia menggunakan peruntukannya sendiri.

"Kita memahami keperluan ini dan MBPP telah menjadi antara 'the rare PBT' (pihak berkuasa tempatan yang unik) apabila mengambil inisiatif untuk membantu kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan untuk mengurangkan beban lalu lintas di Pulau Pinang.

"Banyak projek yang memanfaatkan rakyat telah dilaksanakan oleh MBPP sejak dahulu, tetapi projek ini merupakan projek paling besar yang pernah dilaksanakan dalam sejarah MBPP," katanya.

Tung Seang menambah, dalam perancangan projek itu, MBPP tidak mengabaikan penduduk di kawasan Balik Pulau apabila menyediakan Tun Sardon Link iaitu jejambat menyambungkan Jalan Berkembar Jalan Paya Terubong ke Jalan Tun Sardon.

Tanah runtuh di tapak projek pembinaan Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus itu turut menyebabkan 13 kontena dan rumah kongsi penempatan pekerja asing projek itu tertimbus.
Tanah runtuh di tapak projek pembinaan Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus itu turut menyebabkan 13 kontena dan rumah kongsi penempatan pekerja asing projek itu tertimbus.

"Tun Sardon Link ini mempunyai jarak 825 meter dapat memberi manfaat kepada warga Balik Pulau khususnya dan pengguna jalan raya lain yang ingin ke Paya Terubong; Bukit Jambul, Bukit Gambir dan sebagainya.

"Selain disediakan laluan basikal, bagi penggemar kayuhan 'off-road', penunggang basikal boleh menggunakan lorong yang disediakan di bahagian bawah jejambat. MBPP juga merancang untuk membina satu kawasan rekreasi di kawasan ini bagi memberi kemudahan kepada orang ramai untuk beriadah," katanya.

Dari aspek keselamatan, Tung Seang berkata, pembinaan jalan itu telah diaudit oleh jurutera audit keselamatan jalan raya selain rekabentuk struktur serta cerun turut diperiksa oleh jurutera.

"Semua langkah keselamatan bagi memastikan keselamatan pengguna telah diambil. Selain itu, jalan berkembar ini juga direka berdasarkan piawaian tertinggi Malaysia, dengan kawalan had laju yang ditetapkan.

"MBPP juga telah menjalankan pemeriksaan terperinci untuk memastikan keselamatan di kawasan cerun. Kita juga telah melantik pakar geologi berpengalaman selain perunding bebas untuk pemeriksaan. Pemeriksaan akan dijalankan sekurang-kurangnya dua tahun akan datang," katanya.

Sebelum ini, projek mega itu berdepan dengan beberapa cabaran antaranya cabaran di tapak dan proses pengambilan tanah.

Tapak pembinaan jalan berkembar itu juga pernah mencetuskan kontroversi apabila berlaku kejadian tanah runtuh yang mengorbankan sembilan nyawa manakala tiga lagi cedera.

Kejadian tersebut berlaku pada 19 Oktober 2018 yang mana dua minggu sebelum kejadian berkenaan, berlaku runtuhan rasuk berdekatan dengan kejadian tanah runtuh berkenaan.

Bagaimanapun, kejadian runtuhan rasuk itu tidak melibatkan mangsa dan diklasifikasikan sebagai kemalangan di tapak kerja.

Lokasi kejadian runtuhan tanah itu berlaku kira-kira 500 meter dari lokasi insiden runtuhan rasuk.

Tanah runtuh di tapak projek pembinaan Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus itu turut menyebabkan 13 kontena dan rumah kongsi penempatan pekerja asing projek itu tertimbus.

Kesemua sembilan mangsa merupakan pekerja warga asing yang terdiri daripada tiga lelaki Indonesia, lima lelaki Bangladesh dan satu wanita Myanmar.

Dalam kejadian pada 19 Oktober 2018, seramai sembilan pekerja warga asing maut selepas tertimbus dalam tanah runtuh di tapak pembinaan Jalan Berkembar Jalan Paya Terubong (Bukit Kukus).
Dalam kejadian pada 19 Oktober 2018, seramai sembilan pekerja warga asing maut selepas tertimbus dalam tanah runtuh di tapak pembinaan Jalan Berkembar Jalan Paya Terubong (Bukit Kukus).

Mereka yang maut dikenali sebagai Samsul Asman, 19, (Indonesia); Bahtiar, 36, (Indonesia); Subaeri, 34, (Indonesia); Attarul, 35 (Bangladesh); Mustak Hossain, 25, (Bangladesh); Mithu Hossain, 30, (Bangladesh); Mohamad Jalil, 31 (Bangladesh); Mohamad Uzzal, 33, (Bangladesh) dan Khin Aye Khaing, 33, (wanita Myanmar).

Mereka yang cedera pula ialah Shamim, 24, (lelaki Bangladesh) yang masih dirawat di Hospital Pulau Pinang dan tiga wanita iaitu dua Indonesia, Wa Iri, 36, yang merupakan isteri kepada Bahtiar yang mengandung empat bulan; dan Laduma serta satu wanita Kemboja yang dikenali sebagai Norazizah, 24, yang juga isteri kepada Subaeri.

Operasi menyelamat selama lima hari itu melibatkan lebih 200 anggota penyelamat serta unit anjing pengesan (K9) bomba di kawasan seluas 9290.3 meter persegi (100,000 kaki persegi).