X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 06 Julai 2022

[VIDEO] Anak penyu agar mati termakan plastik

Tangkap layar video penemuan bangkai anak penyu agar yang dikongsikan Mohd Afendy di laman sosial Facebooknya pada Khamis.
A
A

MARANG - Seorang mekanik menemukan bangkai seekor anak penyu dengan gumpalan plastik pada mulut haiwan itu di pantai Kampung Pulau Kerengga di sini pada Khamis.

Mohd Afendy Abd Aziz, 41, berkata, dia terserempak dengan bangkai penyu agar yang dianggarkan seberat lima hingga lapan kilogram (kg) itu kira-kira jam 8.30 pagi ketika mengambil angin di kawasan itu bersama anaknya, Akid Khalif, 11.

"Selepas sarapan pagi tadi, saya ajak anak berjalan di pesisiran pantai di Pulau Kerengga. Tak sangka pula terserempak dengan bangkai penyu yang telah mati di tepi pantai itu.

"Apabila lihat lebih dekat, saya nampak seperti ada gumpalan plastik pada mulut penyu itu. Saya segera tarik untuk keluarkan plastik itu dengan harapan ia masih bernafas. Malangnya penyu tersebut tidak dapat diselamatkan dan telah mati," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Menurut Mohd Afendy, selain dua gumpalan plastik dia mendapati terdapat luka pada bahagian kanan badan penyu tersebut dipercayai kesan terkena jaring atau pukat nelayan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perikanan Terengganu, Ruzaidi Mamat berkata, empat ekor penyu ditemukan mati dalam tempoh dua minggu tahun ini.

"Awal bulan ini iaitu pada 3 Januari lalu, seekor penyu agar betina dewasa ditemukan mati di Pantai Penunjuk, Kijal di Kemaman.

"Pada 12 Januari, sebanyak dua kes kematian penyu agar betina dewasa direkodkan di Pantai Seberang Takir di Kuala Nerus dan Pelabuhan Chendering di Kuala Terengganu.

"Terbaharu iaitu pada Khamis, satu kes kematian melibatkan anak penyu agar ditemukan di Pulau Kerengga, Marang," katanya.

Menurut Ruzaidi, tiga ekor penyu agar betina dewasa mati akibat lemas kerana terkena pukat sementara anak penyu yang ditemukan mati di Pulau Kerengga disebabkan termakan plastik.

Berdasarkan statistik, sebanyak 51 kes kematian melibatkan hidupan marin itu yang direkodkan sepanjang tahun lalu di seluruh Terengganu.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!