Pemandu lori serik, janji tak buat lagi

Muhamad Asraf (kanan) ketika tiba di Mahkamah Sesyen Sungai Petani pada Khamis.
Muhamad Asraf (kanan) ketika tiba di Mahkamah Sesyen Sungai Petani pada Khamis.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Seorang pemandu lori mengaku sudah serik dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan membawa hasil hutan tanpa kebenaran, di Mahkamah Seksyen Sungai Petani pada Khamis.

Tertuduh, Muhamad Asraf Mohd Jaafar, 20, memberi jawapan itu ketika diajukan soalan oleh Hakim Najwa Che Mat adakah tidak serik kerana pernah dikompaun sebanyak RM2,000 sebelum ini atas kesalahan sama.

Berdasarkan pertuduhan, pada 28 November lalu lebih kurang jam 6.30 petang di Jalan Jeniang-Gurun, dekat Sik, telah ada dalam jagaan tertuduh sebanyak 44.88 meter padu kayu spesies getah tanpa pas pemindah yang sah menggunakan lori jenis Volvo.

Akibat itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Subseksyen 68(1) Akta Perhutanan Negara 1984 [Akta 313] yang telah diterima pakai oleh negeri Kedah bawah Enakmen (Pemakaian) Perhutanan Negara 1985 dan boleh dihukum bawah Subseksyen 68 (4)(a) enakmen yang sama.

Sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Perhutanan Negeri Kedah, Muhamad Firdaus Zulnaim Johari manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tertuduh bagaimanapun merayu agar hukuman diringankan memandangkan masih menanggung empat adik yang bersekolah serta mengambil upah memandu lori secara sambilan kerana tidak mempunyai pekerjaan tetap.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM3,500 dan sekiranya gagal dibayar, boleh dipenjara selama enam bulan.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah turut memerintahkan agar barang kes iaitu hasil hutan dilucutkan hak pada Jabatan Perhutanan Negeri Kedah dan lori yang digunakan tertuduh dilepaskan semula kepada pemilik asal.