Enam lagi suspek direman kes penipuan sijil vaksin Covid-19

Antara kad janji temu vaksinasi yang dirampas oleh polis berhubung kes penipuan sijil vaksin palsu yang dijalankan di sebuah klinik swasta di Marang, Terengganu.
Antara kad janji temu vaksinasi yang dirampas oleh polis berhubung kes penipuan sijil vaksin palsu yang dijalankan di sebuah klinik swasta di Marang, Terengganu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seramai enam lagi individu direman bagi membantu siasatan berhubung kes penjualan sijil vaksinasi Covid-19 palsu.

Keenam-enam individu berusia lingkungan 35 hingga 57 tahun itu ditahan reman selama tiga hari bermula Khamis hingga Sabtu.

Perintah tahanan reman ke atas suspek dikeluarkan Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda di Mahkamah Majistret Marang, di sini, pada Khamis bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana penipuan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintenden M Zambri Mahmud berkata, kesemua suspek ditahan reman kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan tersebut.

Beliau berkata, kesemua lelaki itu dikatakan menerima bayaran untuk membekalkan sijil vaksinasi Covid-19 tanpa perlu melakukan suntikan sebenar dengan kadar bayaran tertentu, namun sehingga kini dikatakan gagal menyediakan sijil berkenaan untuk pelanggan mereka.

"Polis menahan enam suspek tersebut susulan laporan polis oleh mangsa yang mendakwa tidak mendapat sijil vaksinasi Covid-19 walaupun telah membuat bayaran.

"Kesemua suspek ditahan ketika dipanggil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu pada Sabtu," katanya ketika dihubungi di sini pada Khamis.

Pada Rabu, polis Terengganu mengesahkan penahanan tujuh individu termasuk suspek utama yang merupakan seorang doktor berusia 51 tahun berhubung kes penipuan penjualan sijil vaksin palsu.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun doktor itu dibebaskan dengan jaminan polis pada Khamis sementara menunggu arahan pihak pendakwa raya.