Selangor catat pertumbuhan eksport tertinggi, Pulau Pinang import tertinggi

Selangor catat peningkatan eksport tertinggi pada November 2021, menyumbang RM6.3 bilion daripada jumlah pertumbuhan eksport negara sebanyak 32.4 peratus kepada RM27.5 bilion pada bulan tersebut. - Foto 123RF
Selangor catat peningkatan eksport tertinggi pada November 2021, menyumbang RM6.3 bilion daripada jumlah pertumbuhan eksport negara sebanyak 32.4 peratus kepada RM27.5 bilion pada bulan tersebut. - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Selangor mencatatkan peningkatan eksport tertinggi pada November 2021, menyumbang RM6.3 bilion daripada jumlah pertumbuhan eksport negara sebanyak 32.4 peratus kepada RM27.5 bilion pada bulan tersebut, kata Jabatan Perangkaan Malaysia.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, Johor dan Pulau Pinang menduduki tempat kedua dan ketiga dengan eksport berkembang masing-masing sebanyak RM5.3 bilion dan RM4.4 bilion.

Jumlah dagangan Malaysia pada November 2021 bernilai RM205.5 bilion, meningkat 34.9 peratus tahun ke tahun, dengan nilai eksport RM112.2 bilion (32.4 peratus tahun ke tahun) dan import bernilai RM93.3 bilion (38.0 peratus tahun ke tahun).

Beliau berkata, negeri-negeri lain yang turut mencatatkan pertumbuhan eksport termasuk Sarawak (RM3.1 bilion), Kedah (RM2.1 bilion), Sabah (RM1.8 bilion), Pahang (RM1.6 bilion), Kuala Lumpur (RM1.2 bilion), Melaka (RM904.8 juta), Wilayah Persekutuan Labuan (RM692.5 juta), Perak (RM254.0 juta), Negeri Sembilan (RM245.8 juta), dan Perlis (RM11.2 juta).

“Bagaimanapun, eskport menurun di Terengganu (RM346.6 juta) dan Kelantan (RM42.5 juta),” katanya dalam laporan Statistik Eksport Import Mengikut Negeri bagi November 2021, yang dikeluarkan pada Khamis.

Sementara itu, Mohd Uzir berkata, lima negeri mendominasi eksport Malaysia iaitu Pulau Pinang (28.2 peratus), Johor (20.6 peratus), Selangor (19.0 peratus), Sarawak (7.6 peratus), dan Kedah (4.0 peratus).

Menurutnya, eksport lima negeri ini menyumbang sebanyak 79.4 peratus daripada jumlah eksport Malaysia pada November 2021.

Bagi import mengikut negeri, beliau berkata, Pulau Pinang mencatatkan angka import tertinggi dengan peningkatan RM6 bilion, diikuti Johor (RM5.6 bilion), dan Selangor (RM4.7 bilion).

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, import Kedah meningkat RM2.7 bilion, Kuala Lumpur (RM2.2 bilion), Negeri Sembilan (RM1.8 bilion), Sarawak (RM749.8 juta), Perak (RM533.7 juta), Pahang (RM305.5 juta), Sabah (RM260.5 juta), Labuan (RM151.6 juta), Terengganu (RM105.1 juta) dan Perlis (RM22.4 juta).

“Bagaimanapun, import menurun di Melaka (RM34.9 juta) dan Kelantan (RM5.7 juta),” katanya.

Selangor kekal sebagai penyumbang utama import dengan 25.6 peratus, diikuti oleh Pulau Pinang (23.3 peratus), Johor (20.3 peratus), Kuala Lumpur (7.5 peratus) dan Kedah (7.1 peratus). - Bernama