Sila log masuk terlebih dahulu.

Kerajaan salur RM20.107 bilion kepada 357,402 majikan melalui PSU




Tengku Zafrul
Tengku Zafrul
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan secara keseluruhannya telah menyalurkan sebanyak RM20.107 bilion kepada 357,402 majikan melalui Program Subsidi Upah (PSU) bagi mengekalkan penggajian 2,951,245 pekerja tempatan dalam usaha untuk mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan pekerja warganegara.

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kerajaan akan meneruskan inisiatif PSU kepada pengusaha pelancongan yang mengalami penurunan pendapatan sekurang-kurangnya 30 peratus daripada jumlah jualan atau pendapatan pada bulan Oktober 2021 sehingga Disember 2021 berbanding mana-mana bulan pada tahun 2019 sehingga 2021 sebelum penularan wabak Covid-19.

“Permohonan telah pun dibuka sejak 1 Januari 2022 sehingga 31 Mac 2022 namun majikan dari sektor dan aktiviti industri yang tidak tersenarai tetapi masih terjejas akibat penularan Covid-19 masih boleh mengemukakan rayuan secara dalam talian kepada Perkeso.

“Dengan peruntukan sebanyak RM600 juta, inisiatif ini bakal memanfaatkan lebih 26 ribu majikan dan 330 ribu pekerja,” katanya dalam laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana) Ke-81 yang dikeluarkan pada Khamis.

Bagi maklumat lanjut, boleh layari https://www.perkeso.gov.my/bajet-2022/sip-bajet-2022.html.

Menurutnya, melalui PSU 4.0, sebanyak RM2.148 bilion telah disalurkan kepada 142,539 majikan untuk terus beroperasi dan mengekalkan penggajian bagi 1,698,999 pekerja setakat 31 Disember 2021.

Tengku Zafrul berkata, kerajaan melalui pelbagai kementerian dan agensi kerajaan akan meneruskan usaha latihan dan peningkatan kemahiran bagi tahun 2022 dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM1.1 bilion yang menyasarkan 220,000 peluang pekerjaan.

Katanya, antara inisiatif yang akan dilaksanakan adalah seperti latihan dan peningkatan kemahiran di bawah Pusat Pembangunan Sumber Manusia (HRDC), Koridor Wilayah, Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat), Kementerian Pengajian Tinggi, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti dan sebagainya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM600 juta bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan PKS mikro yang masih terkesan dengan penularan Covid-19.

“Setakat 31 Disember, terdapat 701 permohonan bagi pembiayaan ini, dan daripada jumlah ini sebanyak 340 permohonan telah diluluskan dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM67.5 juta,” katanya.

Menurut Bank Negara Malaysia (BNM), sejumlah RM400 juta daripada dana asal RM1 bilion diperuntukkan semula bagi Penubuhan Kemudahan Bantuan Bencana (DRF) untuk mengurangkan beban kewangan dan memulihkan operasi perniagaan PKS yang terjejas akibat banjir dan Kemudahan Automasi Digital PKS (ADF) untuk memberi insentif kepada PKS untuk mengautomasikan proses dan mendigitalkan operasi untuk meningkatkan produktiviti dan kecekapan. - Bernama