Jumlah hutan simpan ditukar tanah ladang lebihi kuota: Fuziah

Fuziah ketika menjadi panel pada program Kompas Rasuah Busters bertajuk Rasuah, Tsunami Balak dan Bah yang disiarkan di platform Sinar Harian pada Rabu.
Fuziah ketika menjadi panel pada program Kompas Rasuah Busters bertajuk Rasuah, Tsunami Balak dan Bah yang disiarkan di platform Sinar Harian pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Jumlah hutan simpan yang ditukar kepada tanah ladang di Pahang mencecah kira-kira 120,000 hektar didakwa berlebihan sebanyak 40,000 hektar daripada kuota yang ditetapkan.

Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh mendakwa, sepatutnya kuota hutan simpan yang boleh ditukar kepada tanah ladang hanya antara 75,000 hingga 80,000 hektar.

“Aktiviti pembalakan di hutan simpan kekal seharusnya tidak boleh dilakukan secara berlebihan kerana boleh menyebabkan kegelinciran di cerun yang tinggi dan puing yang banyak.

“Jadi ini mungkin satu cara yang sah, ada lesen tetapi sebenarnya tidak beretika. Saya tidak tahu dengan jelas perkara sebenar tetapi faktanya jumlah hutan simpan kekal yang telah ditukar kepada tanah ladang melebihi kuota untuk negeri Pahang.

"Kita perlu tanya kerajaan negeri berapa banyak yang telah diluluskan di hutan simpan kekal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel pada program Kompas Rasuah Busters bertajuk Rasuah, Tsunami Balak dan Bah yang disiarkan di platform Sinar Harian pada Rabu.

Turut menjadi panelis ialah Exco Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka), Damian Thanam Divean dan Bekas Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Hutan Malaysia dan Penasihat Kanan Persatuan Pencinta Alam Malaysia, Tan Sri Dr Salleh Mohd Nor manakala Ismail Adnan bertindak selaku moderator.

Mengulas lanjut, Fuziah berkata, laporan tahunan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) menyatakan jumlah tanah ladang di Pahang pada tahun 2017 sudah mencecah 104,905 hektar.

Artikel Berkaitan:

“Laporan tahunan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) pada tahun 2018 pula menyatakan lebih 10,000 hektar telah bertukar dari hutan simpan kepada tanah ladang, kemudian 2019 (8,910) dan 2020 (7,391) hektar.

“Jadi jumlah lebih kurang 120,000 hektar, jauh melebihi jumlah hutan ladang yang dibenarkan,” ujarnya.

Beliau berkata, jawatankuasa bebas perlu diwujudkan untuk menyiasat punca berlakunya isu lebihan tanah ladang kerana sekiranya JPNP yang jalankan siasatan, akan wujud konflik kepentingan di situ.

“Kalau ada lesen untuk pembalakan, ia dikeluarkan oleh JPNP. Jadi bagaimana mungkin tidak berlaku konflik sekiranya mereka yang keluarkan lesen, kemudian mereka yang siasat.

“Jadi perlu kita beredar daripada JPNP dan pastikan jawatankuasa ini benar-benar bebas kerana walaupun pembalakan membawa hasil yang banyak untuk negeri tetapi ia tidak wajar sekiranya ramai rakyat hilang rumah, harta benda dan nyawa,” jelas Fuziah.