GSJ serah memorandum kepada Sultan Johor

Sultan Ibrahim menerima memorandum berkaitan usul oleh GSJ yang disampaikan Mohamad Salleheen di pekarangan Masjid Jamek Chaah, Segamat.
A
A

SEGAMAT - Gerakan Setia Johor (GSJ) hari ini menyerahkan memorandum kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar yang membantah tindakan Kerajaan Persekutuan dalam beberapa perkara.

Pengerusinya, Mohamad Salleheen Muhammad berkata, antara isu diberi perhatian adalah kegagalan kerajaan menunaikan manifesto pilihan raya, tidak fokus jaga kebajikan rakyat, kurang sensitif terhadap hak istimewa orang Melayu dan ancaman terhadap kedaulatan Raja-Raja.

Menurutnya, dapatan itu diperoleh hasil kajian GSJ selama sebulan pada Februari lalu melalui kaedah kaji selidik, panggilan telefon dan undian media sosial.

Ia juga melibatkan suara daripada 10,000 responden dari pelbagai umur, agama, kaum dan kerjaya.

“Kerajaan hari ini seolah-olah menutup segala kelemahan pentadbiran dan pengurusan dengan menyalahkan kerajaan terdahulu serta mengutamakan ratifikasi polisi antarabangsa seperti ICERD dan Statut Rom yang jelas bertentangan Perlembagaan Persekutuan.

“Oleh itu, GSJ berpandangan Sultan Johor adalah susuk tubuh yang sesuai menerima memorandum ini kerana sifat jiwa rakyat yang ada pada baginda pastinya dapat menyelami keluh kesah rakyat di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di pekarangan Masjid Chaah, hari ini.

Menurut Mohamad Salleheen, antara intipati memorandum adalah GSJ bersama rakyat Johor akan mempertahankan institusi diraja, menolak segala ancaman dan terus teguh mendaulatkan Perlembagaan Persekutuan serta Undang Undang Tubuh Negeri Johor.

“Selain itu, GSJ juga memohon agar Tuanku dapat mendesak kerajaan negeri Johor merangka formula khas untuk kebajikan rakyat selain tuntutan kepada Kerajaan Pusat agar menyalurkan peruntukan pembangunan negeri Johor untuk pada tahun ini dengan kadar segera.

“Kami Bangsa Johor juga bertekad berdiri mempertahankan hak dan kebebasan institusi diraja Johor untuk bersuara demi untuk membela nasib rakyat Johor.

“Kerajaan Persekutuan yang selama ini melaung-laungkan prinsip kebebasan bersuara seharusnya menghormati hak bersuara setiap individu dan masyarakat termasuk kerabat diraja,” katanya.

Tambahnya, Bangsa Johor juga akan bangkit mempertahankan sekiranya Sultan Johor dan kaum kerabat baginda serta Raja-Raja Melayu yang lain dihina dan dicemuh demi kerana kerakusan dalam mengejar cita-cita politik individu.

“Kami berdiri teguh bersama DYMM Sultan Johor di dalam mempertahankan kedaulatan undang-undang tubuh negeri dan akan terus mempertahankan institusi beraja dan hak istimewa orang Melayu,” tegasnya.