Polis buka kertas siasatan terhadap pemilik akaun Twitter Edisi Khas

Tangkap layar dakwaan pemilik Twitter Edisi Khas terhadap polis Negeri Sembilan. (Mohamad Mat Yusop)
Tangkap layar dakwaan pemilik Twitter Edisi Khas terhadap polis Negeri Sembilan. (Mohamad Mat Yusop)
A
A
A

SEREMBAN - Satu kertas siasatan dibuka terhadap pemilik akaun Twitter 'Edisi Khas' yang mendakwa polis Negeri Sembilan terlibat dalam kehilangan barang kes iaitu wang tunai berjumlah lebih RM600,000 pada Mei 2020.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, dakwaan itu adalah fitnah dan polis sedang mengesan pemilik akaun berkenaan untuk tindakan lanjut.

"Saya menafikan dakwaan itu kerana polis telah menyerahkan siasatan kes berhubung kehilangan barang kes wang tunai kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan iaitu fitnah," katanya kepada media pada Khamis.

Pada Rabu, akaun Twitter yang menggunakan nama 'Edisi Khas' berkongsi satu laporan polis yang dibuat oleh seorang lelaki bertarikh 5 Mei 2020 berhubung kehilangan wang tunai lebih RM600,000 miliknya ketika ditahan oleh polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban.

Hantaran dalam Twitter itu menulis "@PDRM N/Sembilan bersaing dengan @SPRMMalaysia siapa lagi besar curi wang barang kes dan pemenangnya adalah SPRM yang berjaya sapu RM25 juta manakala Polis N/Sembilan hanya sapu RM600 ribu ringgit. Ha3".

Sementara itu, Mohamad berkata, hasil siasatan mendapati kehilangan wang tunai itu pada mulanya berpunca daripada tangkapan kes penyeludupan rokok oleh IPD Seremban pada Mei 2020.

Bagaimanapun katanya, kes itu telah diserahkan kepada SPRM untuk siasatan lanjut dan ia telah pun selesai.

Artikel Berkaitan:

"Enam anggota polis telah dipanggil untuk memberi keterangan kepada SPRM. Kes ini telah selesai, kenapa perlu timbulkan lagi, ini merupakan satu fitnah," katanya.