Kelantan United 'bebas' tunggakan gaji pemain

Wan Roslan (dua dari kanan) menerima replika cek daripada Yakult yang disampaikan oleh Hamada (kanan) pada Majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama Strategik Antara Yakult (Malaysia) Sdn Bhd dengan Kelantan United di Kota Bharu pada Khamis.
Wan Roslan (dua dari kanan) menerima replika cek daripada Yakult yang disampaikan oleh Hamada (kanan) pada Majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama Strategik Antara Yakult (Malaysia) Sdn Bhd dengan Kelantan United di Kota Bharu pada Khamis.
A
A
A

KELAB Bola Sepak Kelantan United (Kelantan United) mengamalkan corak perbelanjaan berhemah bagi memastikan pasukan itu tidak berdepan dengan isu tunggakan gaji 'kronik' sehingga boleh menjejaskan nama baik mereka.

Penasihat Kelantan United, Wan Roslan Wan Hamat berkata, corak perbelanjaan itu diamalkan sejak pasukan tersebut ditubuhkan dan kemudian beraksi dalam saingan Liga M3 pada tahun 2019 sebelum melangkah ke Liga Perdana pada tahun berikutnya.

"Peringkat awal lagi saya sudah memberikan amaran kepada pihak pengurusan pasukan supaya kita rangka perbelanjaan ikut kekuatan yang kita ada," katanya pada Majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama Strategik Antara Yakult (Malaysia) Sdn Bhd dengan Kelantan United di sini pada Khamis.

Pada majlis itu Yakult Malaysia Sdn Bhd diwakili oleh Pengarah Urusannya, Hiroshi Hamada manakala Kelantan United oleh Timbalan Presiden, Datuk Zamri Ismail.

Mengulas lanjut Wan Roslan berkata, corak perbelanjaan berhemah ini bagi mengelakkan Kelantan United berdepan dengan masalah gagal membayar gaji pemain.

Katanya, walaupun gaji yang ditawarkan agak rendah berbanding pasukan lain namun ia tidak menghalang pemain untuk beraksi dengan Kelantan United disebabkan oleh faktor tersebut.

Menurut Wan Roslan, pihaknya khuatir tunggakan gaji boleh menjejaskan moral pemain sekali gus menyaksikan pasukan gagal beraksi dengan baik.

"Sebab itulah kita amat menitikberatkan anak tempatan untuk bersama Kelantan United kerana mereka sudah masak dengan tempat sendiri. Kalau pemain import kita naikkan sedikit bayaran gaji mereka," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu Hamada berkata, musim ini Yakult membelanjakan sebanyak RM766,000 untuk menaja Kelantan United menerusi kerjasama pintar ini.

Beliau berkata, kerjasama itu turut melibatkan pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi dalam melahirkan lebih ramai bakat-bakat baharu di negeri ini.

"Selain itu, ada dua lagi syarikat dari Jepun turut menyatakan kesediaan untuk bersama Kelantan United musim ini," katanya.