'Sabar itu gak ada batasnya'

A
A

BEBERAPA hari sebelum ini saya diberitahu berita gembira. Berita yang tidak disangka-sangka juga. Kata orang tua-tua kita yang bijaksana, bagai bulan jatuh ke riba. Walaupun mustahil bulan hendak jatuh ke riba, namun tiada yang mustahil bagi ALLAH.

Sebelum ini, hanya disangka panas sampai ke petang, iaitu sesuatu yang baik akan tetap selamanya, namun hujan yang muncul di tengah hari sebenarnya, boleh dikatakan sesuatu yang baik juga. Begitulah rahmat Tuhan.

Setelah setahun berulang-alik setiap minggu dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang, maka saya telah dipanggil oleh bos besar.

“Faisal, I nak hantar you balik Penang.’’

Saya agak terkejut juga pada mulanya dan menjadi kelu. Pada masa yang sama, saya juga tidak mahu menunjukkan perasaan terlampau gembira walaupun dalam hati seakan-akan mahu melompat.

“Oh, kenapa Datuk?” Saya bertanya.

Saya hanya mengangguk-angguk apabila diberitahu sebabnya. Dan pada masa sama, saya juga cuba mengawal senyuman supaya tidak terlalu memaparkan mimik muka terlampau gembira. Lebih-lebih lagi apabila bos besar bertanya lagi, adakah saya suka dapat pulang semula ke Pulau Pinang.

Begitulah tuan-puan, sebenarnya ada perkara juga yang hendak saya kongsi daripada peristiwa ini. Ia berkait rapat dengan kesabaran. Hendak bersabar bukan mudah, memang susah dan boleh membuatkan kita hilang sabar juga. Dan yang paling kronik pula adalah kemurungan yang melampau.

Namun begitu, kesusahan yang kita hadapi dengan sabar itulah sebenarnya satu kunci kejayaan. Jika kita sabar dengan sebenar-benar sabar maka adalah hasilnya. Cuma tidak tahulah berapa lama. Walaupun kadang-kadang ibarat menunggu seperti buah yang tidak gugur, tetapi tidak bermakna ia tidak akan berhasil.

Tok-tok guru ada juga mengajar bahawa, hendaklah kita sabar dalam menghadapi segala kesusahan hidup. Iaitu, sabar dalam menghadapi aneka ragam manusia. Kata tok guru lagi, hendaklah kita bersabar jika ditipu, difitnah, dimaki hatta dipukul sekalipun.

Tuan-puan, memang betul ajaran tok guru itu. Kerana setiap kejadian adalah daripada perancangan ALLAH. ALLAH yang telah menentukannya. Hendaklah kita reda. Walaupun begitu, berkata pula orang-orang yang bukan tok guru, takkan sampai kena pijak kepala pun kena reda?

Tuan-puan, di sini kita sudah salah faham sebenarnya. Sabar yang bagaimana dimaksudkan itu? Jawabnya ialah sabar untuk menahan diri daripada mengambil tindakan yang dipengaruhi emosi. Biarkan sabar kita itu menghasilkan gerak daripada ALLAH. Maksudnya ALLAH yang menggerakkan usaha kita.

Yang penting ialah sabar dan jangan merungut. Bila sabar dan tidak merungut, ibarat menerima dan berserah kepada ALLAH sepenuhnya, maka akan terhasil gerak kerja daripada ALLAH. Itulah maksud saya. Maka gerakan ilham daripada ALLAH ini adalah lebih berkat dan penuh dengan rahmat pula.

Bercakap berkenaan dengan berserah sepenuhnya atau segalanya kepada ALLAH, kenalah kita faham juga. Bagaimana penyerahan sebegitu? Sebenarnya, perlu juga kita bertanya, apabila kita kata, “saya tawakal sahaja’’, sebenarnya, apa maksudnya?

Adakah dengan tawakal itu, sudah memenuhi apa yang dikatakan berserah sepenuhnya? Perlu juga kita tanya, jika masih ada lintasan merungut, penyesalan dan hampa, adakah sempurna penyerahan kita itu?

Nah, ini bukanlah satu penyerahan dan sabar yang sempurna.

Ini kerana masih ada diri kita yang kita anggap berkuasa ke atas perkara yang berlaku. Kita masih beranggapan, jika kita buat begitu dan begini, bermakna hasilnya adalah begitu dan begini. Dan jika ia tidak berhasil begitu dan begini, kita masih beranggapan semua adalah dalam kuasa kita.

Nah, sekali lagi, di sinilah sebenarnya ketidaksempurnaan itu. Tiada kuasa, tiada daya dan tiada apa pun kita. Semuanya hanya daripada ALLAH. Kita pula? Kosong. Tiada apa-apa. Bak kata tok-tok guru lagi, cubalah tengok tangan itu, siapa punya? Mata, otak, hidung, lutut dan segala anggota siapa yang punya? Tiada lain, hak ALLAH semata-mata.

Seperti lagu yang dinyanyikan oleh Iwan Dangdut jika tuan-puan peminatnya, pasti pernah mendengar lagu ini, “lihatlah gunung yang tinggi, Subhanallah itu ALLAH yang punya.” Nah, kalau semua ALLAH yang punya, tiada apa yang tinggal buat kita. Maka janganlah pula kita sombong dan takabbur.

Sombong dan takabbur ini tidak membawa kita ke mana-mana. Malah akan merosakkan diri. Ramai yang akan benci dan tidak suka. Bila ramai yang benci kepada kita, maka susah hidup kita. Kawan-kawan dan saudara-mara pun akan jauhkan diri.

Oleh itu, marilah kita belajar bersabar dengan cara sempurna. Bila tercapai kesempurnaan itu, maka sempurnalah sebahagian daripada iman kita. Justeru, elok juga kita dengar petikan kata Abdurrahman Wahid Presiden Ke-4 Indonesia, sebagai bekal untuk kita dalam mencari sabar yang sempurna.

“Sabar itu gak ada batasnya, kalau ada batasnya berarti gak sabar.”

*Penulis seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk bersatira, email beliau: mrfaisalmuhamad@gmail.com


PENAFIAN:
SINAR HARIAN tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SINAR HARIAN. Terima kasih.