Jentera serangan Norwich tiada ‘naluri pemusnah’

Smith cuba menenangkan pemain Norwich, Brandon Williams, setelah tamat perlawanan. - Foto Focus Images Ltd
Smith cuba menenangkan pemain Norwich, Brandon Williams, setelah tamat perlawanan. - Foto Focus Images Ltd
A
A
A

PENGENDALI Norwich City, Dean Smith menyifatkan jentera skuad kendaliannya itu tidak memiliki ‘naluri pemusnah’ hingga menyaksikan mereka gagal merobek gawang lawan.

Menurut Smith, ketiadaan naluri berkenaan dilihat sebagai antara masalah utama skuad The Cannaries itu dan ia perlu diatasi segera bagi mengukuhkan kedudukan dalam saingan EPL kali ini.

“Masalah ini perlu segera diatasi, tidak boleh dibiarkan berlarutan. Pemain dilihat banyak terlepas peluang di depan pintu gol lawan dan ia sebahagian daripada faktor yang menyebabkan kita gagal mencapai kemenangan.

“Oleh itu, masalah ini perlu diberikan perhatian dan pemain perlu lebih ‘bernafsu’ ketika berada dalam kotak penalti lawan bagi menjaringkan gol.

“Ini kerana, dalam bola sepak hanya jaringan gol yang akan menyaksikan sesebuah pasukan itu disahkan sebagai pemenang,” katanya.

Untuk rekod, Norwich tewas 0-2 kepada West Ham dan menyaksikan skuad The Cannaries itu terus terperosok pada kedudukan tercorot Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila hanya sekadar meraih 10 mata setelah mengharungi 20 perlawanan.

Pada aksi berdepan West Ham, Norwich dilihat mempamerkan aksi mantap dengan mengekang asakan-asakan The Hammers.

Bagaimanapun, dua gol daripada penyerang West Ham, Jarrod Bowen menyaksikan skuad The Cannaries terus kempunan untuk mencatatkan kemenangan ketiga pada saingan EPL, musim ini.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Smith berkata, di sebalik kekalahan berkenaan, dia dapat menyaksikan sedikit peningkatan pada aksi yang dipamerkan pemain.

Justeru, Smith mengingatkan pemain agar melupakan kekalahan berkenaan dan memberikan fokus pada aksi berdepan Everton pada Sabtu.

“Apa yang boleh dilakukan pemain ketika ini adalah melupakan sahaja kekalahan ini dan berikan fokus untuk berdepan Everton,” katanya.