X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 29 Jun 2022

Sekatan perpindahan pemain jika gagal selesai tunggakan gaji

Sinar Harian melaporkan meski Liga Malaysia (Liga-M) musim ini bakal bermula tidak lama lagi, namun Melaka United FC dilaporkan masih belum melunaskan gaji pemainnya pada musim lalu.
A
A

PASUKAN Liga Super Sarawak United dan Melaka United mempunyai sehingga 31 Januari untuk menyelesaikan tunggakan gaji musim lepas, atau berhadapan dengan sekatan perpindahan pemain secara automatik pada 1 Februari.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam berkata, selepas tempoh itu, pasukan tersebut akan mempunyai 14 hari lagi bagi menyelesaikan tunggakan gaji itu, dan jika gagal mereka akan berhadapan dengan pemotongan mata.

Disember lepas, pemain Sarawak bersetuju dengan terma yang ditetapkan kelab itu berkaitan dengan tunggakan gaji mereka. Bagaimanapun Melaka, mempunyai sehingga 31 Jan untuk menyelesaikan tunggakan atau mendapatkan persetujuan pemain untuk terma pembayaran.

“Sehingga hujung tahun lepas, Sarawak masih berhutang dengan 39 pemain dan pegawai. 15 daripada mereka telah dibayar sepenuhnya. Saya sedang bekerjasama rapat dengan PFAM (Persatuan Pemain Profesional Bola Sepak Malaysia) mengenai perkara ini. Jumlah yang lain perlu dibayar sebelum 31 Januari.

“Jika mereka tidak dibayar atau tidak ada sebarang pelanjutan masa persetujuan, sekatan perpindahan pemain secara automatik akan dikenakan. Sarawak perlu menunjukkan bukti resit pembayaran (tunggakan gaji) atau persetujuan ditandatangani oleh pemain, jika tidak kami akan ambil tindakan,” katanya ketika taklimat secara maya mengenai kalendar Liga Malaysia (Liga-M) pada Rabu.

Mengenai Melaka pula, Stuart berkata, tiada sebarang laporan rasmi mengenai tunggakan gaji pemain, walaupun ia telah tular di media sosial.

Beliau berkata tindakan diambil PFAM adalah tepat, dan beliau yakin bahawa PFAM akan dapat membantu menyelesaikan masalah itu menerusi perbincangan.

Pada Selasa, PFAM menuntut agar Melaka untuk menyelesaikan tunggakan gaji pemain sebelum 19 Januari dan mendakwa gaji pemain dalam skuad utama tertunggak tiga bulan, manakala gaji pemain Piala Presiden dua bulan setengah.

Stuart menjelaskan, daripada 22 pasukan dibenarkan bertanding dalam Liga-M 2022, hanya tiga pasukan iaitu Sarawak, Melaka dan Perak menghadapi masalah tunggakan gaji, pada akhir musim lepas.

Untuk Perak pula, beliau berkata pengurusan baharu pasukan kini bekerja rapat bersama MFL, bagi menangani isu berkaitan pengambilalihan kelab itu, termasuk hutang yang ada.

Sementara itu Stuart menjelaskan bahawa tiga pasukan itu berjaya memperoleh lesen untuk musim 2022 disebabkan isu gaji hanya timbul pada akhir-akhir musim lepas, selepas proses lesen telah diselesaikan pada 30 Jun tahun lepas.

Belajar daripada pengalaman, MFL telah membuat keputusan untuk bersetuju dengan permohonan PFAM untuk menangguhkan tarikh akhir pelesenan kelab sehingga 30 September bagi mengatasi masalah tersebut.

“Ada yang mungkin bertanya, kenapa kita tidak tangguhkan proses pelesenan sehingga hujung musim iaitu November. Ini kerana kita perlu menghantarkan senarai pasukan yang dibenarkan untuk bertanding dalam Liga-M kepada Persekutuan Bolasepak Asia pada 30 Oktober,” katanya. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!