Sayap baharu PBB bakal hasilkan keputusan positif pada PRU15

Abdul Karim Rahman Hamzah
Abdul Karim Rahman Hamzah
A
A
A

KUCHING - Langkah Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) mewujudkan sayap baharu untuk golongan muda berumur lingkungan 18 hingga 28 tahun baru-baru ini dijangka membantu parti itu menghasilkan keputusan positif pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang akan berlangsung pada tahun 2023 atau lebih awal.

Naib Presidennya, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, langkah yang diumumkan oleh Presiden parti merangkap Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg adalah selaras dengan usaha berterusan PBB dalam menyediakan kumpulan muda untuk menjadi matang dari segi berpolitik bagi menentukan masa depan mereka.

“PBB sedang mengambil langkah-langkah yang perlu ketika ini untuk kekal relevan dalam kalangan semua lapisan masyarakat termasuk mereka daripada kumpulan umur berbeza,” menurutnya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, ia juga merupakan strategi yang baik untuk mendekati kumpulan pengundi baharu terutama generasi muda yang perlu mencapai kematangan berpolitik dan menjadikan PBB lebih relevan dalam iklim politik semasa dengan perkembangan terkini menjadi kepentingan rakyat.

“Pindaan Perlembagaan Undi18 telah menunjukkan kepada kita bahawa penyertaan orang muda dalam kancah politik tempatan amat dialu-alukan dan pelaksanaannya menyokong agenda pembangunan serta latihan bakat kepimpinan PBB,” katanya.

Ketika mengumumkan pembentukan sayap baharu itu pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi PBB pada Ahad malam, Abang Johari berkata, ia akan memberi peluang kepada mereka dalam kumpulan umur terbabit untuk berkhidmat demi kesejahteraan Bumi Kenyalang.

Beliau berkata satu jawatankuasa telah dibentuk untuk merangka butiran penubuhan sayap itu dan pindaan perlembagaan parti akan dilakukan pada mesyuarat agung PBB Jun ini.

“Kami mewujudkan sayap ini kerana kami mahu mereka bersama dengan kami dalam menguruskan masyarakat. PBB adalah sebuah parti yang dinamik.

Artikel Berkaitan:

“Kami juga mendengar aspirasi golongan muda dan akan menyesuaikan diri mengikut situasi politik semasa,” katanya. - Bernama