Mayat reput ditemui di pantai Seberang Takir

Polis melakukan siasatan di lokasi mayat reput yang ditemui di Pantai Seberang Takir, Kuala Nerus pada Rabu.
Polis melakukan siasatan di lokasi mayat reput yang ditemui di Pantai Seberang Takir, Kuala Nerus pada Rabu.
A
A
A

KUALA NERUS - Sekumpulan pekerja pembersihan terkejut apabila menemui satu mayat yang sudah reput ketika melakukan kerja pembersihan di kawasan Pantai Seberang Takir di sini pada Rabu.

Mayat tanpa identiti itu dijumpai terdampar di pesisir pantai sekitar jam 12 tengah hari sebelum dilaporkan kepada polis.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din berkata, polis kemudian pergi ke lokasi kejadian untuk melakukan siasatan.

"Mayat yang belum diketahui jantinanya ini tidak cukup sifat dengan kepala, tangan dan betisnya sudah tiada.

"Pengesahan identiti dan jantina mayat masih dalam siasatan. Mayat tersebut telah dibawa ke unit forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Abdul Rahim berkata, ia merupakan mayat kedua ditemui di pantai di negeri ini pada bulan ini.

"Pada 3 Januari lalu, satu mayat reput tanpa identiti ditemui terdampar di Pantai Mengabang Panjang, Kuala Nerus," katanya.

Beliau sehubungan itu meminta orang ramai yang kehilangan ahli keluarga supaya berhubung dengan polis untuk proses pengecaman.

Artikel Berkaitan: