Naik taraf pusat autisme PDRM

Megat Zulkarnain (kiri) menyerahkan replika cek kepada Acryl Sani di Pulapol Kuala Lumpur pada Rabu.
Megat Zulkarnain (kiri) menyerahkan replika cek kepada Acryl Sani di Pulapol Kuala Lumpur pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bukit Aman dalam perancangan untuk menaik taraf pusat autisme Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur di sini secara berperingkat.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pembangunan menaik taraf pusat itu bergantung kepada kemudahan dan keupayaan kewangan.

"Buat masa ini pusat berkenaan mempunyai 23 murid autisme, namun ramai ibu bapa masih menunggu untuk mendaftarkan anak mereka di sini," katanya ketika menghadiri program Pendidikan dan Kemahiran Awal Murid Autisme di Pulapol Kuala Lumpur di sini pada Rabu.

Hadir sama, Pengerusi Yayasan Bank Rakyat, Datuk Megat Zulkarnain Omardin.

Acryl Sani menjelaskan, sejak pusat itu mula beroperasi tahun lalu, ia menjadi matlamat pihaknya untuk menambah baik dan membangunkan lagi pusat berkenaan bagi menampung lebih ramai murid dan tenaga pengajar.

Pada majlis itu, Yayasan Bank Rakyat turut menyampaikan sumbangan RM100,000 kepada pusat berkenaan bagi menjayakan program Pendidikan Awal dan Kemahiran Pelajar Autisme.

Sementara itu, Megat Zulkarnain berkata, pihaknya mengambil peluang membantu masyarakat meningkat tahap sosio ekonomi melalui pendidikan.

"Kami berharap dengan bantuan yang diberikan ini dapat memberi semangat dan kegembiraan kepada kanak-kanak autisme menjalani kehidupan seharian serta belajar sesuatu yang baharu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, perlaksanaan program berkenaan dapat membantu meningkatkan kesedaran orang ramai dan memberi fokus intervensi terhadap peluang golongan autisme untuk mendapat pendidikan seperti kanak-kanak normal lain.