X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 17 Mei 2022

Sindiket edar dadah, pemandu bas kilang antara lapan ditahan

Wan Hassan ditemui media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim pada Rabu.
A
A

KULIM - Tindakan sindiket pengedaran dadah menggunakan pengangkutan awam bagi mengaburi pihak berkuasa gagal apabila seorang lelaki diberkas, dalam satu tangkapan di perumahan awam di Kelang Lama, pada jam 5.15 petang Khamis lalu.

Ketua Polis Kedah, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad berkata, suspek berusia 47 tahun yang juga merupakan pemandu bas kilang dan teksi ditahan di tempat letak kereta bersama sejumlah dadah.

Menurut beliau, suspek ditahan sebaik keluar dari bahagian pemandu bas bersama dadah disyaki ganja seberat 0.35 gram (g) dalam beg silangnya.

"Hasil pemeriksaan lanjut, kita menemui dua buah guni putih mengandungi 19 dan 22 ketulan mampat disyaki ganja dengan anggaran berat 19.5 kilogram (kg) dan 22.4 kg.

"Kita juga menemui satu lagi guni putih mengandungi 12 ketulan mampat ganja seberat 11.9 kg di bahagian bawah bas terbabit," katanya kepada media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim, pada Rabu.

Wan Hassan berkata, susulan daripada itu, polis melancarkan empat lagi serbuan termasuk tiga di Pulau Pinang bermula dari 7 hingga 9 Januari lalu.

Dalam serbuan tersebut, sepasang suami isteri ditahan.

"Serbuan dilakukan di Ayer Hitam, Butterworth, Jelutong serta sebuah rumah di Taman Kemuning, dekat sini dan kita turut merampas sejumlah dadah dalam operasi terbabit,"katanya.

Beliau berkata, kesemua suspek dipercayai terlibat dalam sindiket pengedaran dadah di sekitar utara dan aktif setahun lalu.

"Kita percaya sindiket ini memperoleh bekalan dadah dari negara jiran sebelum dibawa ke negeri ini dan diedar dalam jumlah yang kecil selain menggunakan pengangkutan awam bagi mengaburi mata pihak berkuasa,"jelas beliau.

Kesemua suspek terdiri daripada pemandu bas, teksi, pengawal keselamatan dan buruh yang berusia antara 29 hingga 49 tahun.

Tujuh lelaki yang ditahan mempunyai rekod kesalahan lampau membabitkan pelbagai kesalahan dan ujian air kencing kesemua suspek positif dadah.

Kesemua rampasan ganja seberat 58.98 kg bernilai RM147,450.

Kesemua direman sehingga 13 Januari bagi membntu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!