Syarikat bawa keluar pasir boleh didakwa di mahkamah

Datuk Seri Saarani Mohamad - Foto Bernama
Datuk Seri Saarani Mohamad - Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Peruntukan undang-undang termasuk ditangkap dan didakwa di mahkamah boleh dikenakan ke atas pemilik tanah di Pantai Pasir Panjang, Segari, Manjung sekiranya mereka membawa keluar pasir dari kawasan tersebut.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, Pejabat Tanah dan Galian (PTG) boleh mengambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang ditetapkan berkaitan pengambilan mineral seperti pasir.

Beliau berkata, pemilik tanah boleh menjalankan sebarang aktiviti di atas tanah tersebut kerana kerajaan negeri tidak mempunyai kuasa untuk menghalang.

Bagaimanapun, katanya, PTG sentiasa membuat pemantauan di kawasan tersebut sama ada terdapat kerja-kerja memindahkan pasir dilakukan atau sebaliknya.

"Tetapi kalau dia nak mengambil pasir, lesen pengeluaran pasir hanya dikeluarkan oleh PTG. Setakat ini PTG tidak pernah mengeluarkan kelulusan atau lesen kepada sesiapa untuk mengambil pasir

"Kita ada akta. Pertama, sudah tentu dia akan ditangkap, dibicarakan dan didenda. Ada undang-undang membolehkan dia didenda kerana telah mengeluarkan hasil galian tanpa lesen," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas gesaan Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa) supaya Menteri Besar campur tangan dalam isu perlombongan pasir silika di Pantai Pasir Panjang.

Pada Selasa, Penyelidik Lapangan SAM, Meor Razak Meor Abdul Rahman mendakwa, kerja-kerja di lokasi dikesan masih diteruskan oleh pihak berkenaan biarpun arahan pemberhentian sudah dikeluarkan oleh pihak berkuasa negeri.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, tindakan seumpama itu telah membelakangkan keluhuran undang-undang.