Berlabuh tanpa kebenaran, kapal kargo ditahan

Kapal tangki M.V Lorraine ditahan di Perairan Kuala Selangor kerana berlabuh tanpa kebenaran.
Kapal tangki M.V Lorraine ditahan di Perairan Kuala Selangor kerana berlabuh tanpa kebenaran.
A
A
A

PELABUHAN KLANG - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor menahan sebuah kapal kargo yang berlabuh tanpa kebenaran di perairan Kuala Selangor sekitar jam 4.20 petang, pada Selasa.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, maklumat pengesanan diterima oleh Pusat Kawalan Kawasan (ACC) Klang pada jam 10.55 pagi Selasa.

PKM Bagan Datuk yang sedang melaksanakan rondaan Op Ehsan kemudiannaya digerakkan ke lokasi seterusnya menahan kapal tangki M.V Lorraine.

Menurut beliau, kapal tersebut dikesan sedang berlabuh tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia di kedudukan lebih kurang 22 batu nautika barat daya Sekinchan.

"Hasil pemeriksaan mendapati kapal tersebut dikendalikan oleh 22 kru terdiri daripada warga China, India dan Romania serta mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

"Siasatan mendapati, nakhoda kapal juga gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh dan disyaki melakukan kesalahan di bawah seksyen 491B(1)(I) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana berlabuh tunggu tanpa kebenaran daripada Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia.

"Pihak berkenaan juga gagal memaklumkan ketibaan kepada Pengarah Jabatan Laut Malaysia di bawah Seksyen 449 Ordinan yang sama," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Dalam pada itu, Mohammad Rosli berkata, perintah penahanan ke atas kapal tersebut telah dikeluarkan dan dua kru kapal dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Selangor untuk siasatan lanjut.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM 100,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

Selain itu, pesalah juga boleh didenda tidak melebihi RM 5,000 dan boleh dibaca bersama Kaedah 10(1) Peraturan Pelabuhan Persekutuan 1953 iaitu boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali serta mana-mana kesalahan lain di bawah mana-mana Akta Persekutuan bagi kesalahan kedua.

"Maritim Malaysia sentiasa memandang serius ke atas pematuhan undang-undang dan tindakan sewajarnya akan diambil demi memastikan kesejahteraan perairan negara khususnya di perairan Selangor.

"Pengusaha perkapalan atau pemilik kapal dinasihatkan untuk memohon kebenaran bersauh daripada Jabatan Laut Malaysia sebelum melabuhkan sauh dan mematuhi peraturan untuk melakukan sebarang aktiviti di perairan Malaysia.

"Jika terdapat aduan dan meklumat mengenai sebarang kegiatan jenayahmaritim serta kecemasan di laut, sila hubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-3176 0627 yang beroperasi 24 jam atau talian kecemasan MERS 999 agar tindakan segera dapat diambil oleh Maritim Malaysia," katanya.