Had laju 30km/j di kawasan terpilih di ibu kota

Khairil (kiri), Suret dan Mahadi ketika mengadakan pertemuan pada 7 Januari lalu.
Khairil (kiri), Suret dan Mahadi ketika mengadakan pertemuan pada 7 Januari lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan bekerjasama bagi melaksanakan had laju 30 kilometer sejam (km/j) di zon terpilih di ibu negara dan 50 km/j bagi zon lain.

Perkara itu dimaklumkan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Miros, Datuk Suret Singh selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah pada 7 Januari lalu.

"Kami juga berbincang mengenai perkongsian data kamera litar tertutup (CCTV) berhubung kesalahan trafik," katanya menerusi ciapan di Twitternya pada Sabtu.

Turut hadir dalam kunjungan tersebut ialah Ketua Pengarah Miros, Datuk Dr Khairil Anwar Abu Kassim.

Pada Mei tahun lalu, Miros mencadangkan had laju had laju 30 km/j bagi kawasan perumahan, bandar dan kampung sebagai sebahagian daripada perancangan keselamatan jalanraya kebangsaan untuk tahun 2021 hingga 2030.

Cadangan tersebut merupakan sebahagian daripada kempen dijalankan di bawah Minggu Keselamatan Jalan Raya Global PBB ke-6 (UNGRSW) yang menyasarkan pelaksanaan had 30 km/j di kawasan yang menyaksikan pejalan kaki bercampur dengan trafik.

Khairil menerusi kempen tersebut berkata, had laju lebih rendah seperti dicadangkan itu akan membolehkan persekitaran lebih selamat dan sihat untuk kawasan yang membabitkan percampuran antara manusia dan trafik.

Malaysia antara negara peserta mandat 18 resolusi keselamatan jalan raya melalui Deklarasi Stockholm yang dicapai pada Februari 2020 yang menyaksikan 80 menteri berjanji untuk mengurangkan hingga separuh kematian jalan raya menjelang 2030.

Artikel Berkaitan: