Sijil vaksin palsu: Lima individu sedia jadi saksi

Rohaimi - Foto Bernama
Rohaimi - Foto Bernama
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Polis telah mengenal pasti beberapa individu yang pernah berurusan untuk mendapatkan vaksin Covid-19 dengan seorang doktor klinik swasta di Marang yang ditahan polis pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, buat masa sekarang lima individu sudah bersetuju untuk menjadi saksi dan mereka akan dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan kes.

“Semua mereka mengaku tidak divaksin tapi telah menerima kad vaksin mengesahkan mereka sudah disuntik dos pertama vaksin Covid-19, mereka juga sudah membuat bayaran kepada suspek,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir ke Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Terengganu di Dewan Redang, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di sini pada Rabu.

Pada majlis itu, Senior Asisten Komisioner Norhalid Kimi yang bersara wajib pada Rabu menyerahkan jawatan Timbalan Ketua Polis Terengganu kepada Senior Asisten Komisioner Wan Rukman Wan Hassan yang sebelum ini bertugas sebagai Ketua Penolong Pengarah (Bahagian Dasar Sumber Manusia) Pembangunan Kerjaya Jabatan Pengurusan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Rohaimi (tengah) menyaksikan serah terima tugas Timbalan Ketua Polis Terengganu antara Norhalid (kiri) kepada penggantinya Wan Rukman di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu pada Rabu. - Foto Bernama
Rohaimi (tengah) menyaksikan serah terima tugas Timbalan Ketua Polis Terengganu antara Norhalid (kiri) kepada penggantinya Wan Rukman di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu pada Rabu. - Foto Bernama

Menurut Rohaimi, polis sedang bekerjasama dengan beberapa agensi lain termasuk Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) untuk mengenal pasti lebih ramai individu mendapat sijil vaksinasi tanpa suntikan di klinik swasta berkenaan.

Sehubungan itu, beliau berharap mereka yang mendapat vaksin Covid-19 di klinik swasta itu tampil secara sukarela bagi membantu siasatan kerana jumlah individu mengisi surat kebenaran vaksin melebihi 1,900 orang.

Artikel Berkaitan:

Rohaimi berkata, setakat ini siasatan berjalan lancar dan suspek utama berusia 51 tahun akan dibebaskan dengan jaminan polis pada Khamis sementara menunggu arahan pihak pendakwa raya selepas tempoh reman berakhir.

“Kita akan hantar barang-barang kes seperti komputer riba dan telefon bimbit ke Bahagian Forensik Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman esok untuk dianalisis di sana,” katanya.

Polis Terengganu pada Isnin membongkar kegiatan seorang doktor antivaksin mengeluarkan sijil vaksinasi palsu kepada individu yang enggan disuntik vaksin Covid-19 susulan maklumat daripada orang awam berhubung aktiviti terbabit.

Penjualan sijil vaksin palsu itu dipromosikan dan dijalankan secara dalam talian kepada golongan antivaksin selain mengupah beberapa ejen dengan bayaran RM50 bagi setiap pelanggan.

Klinik swasta yang mengendalikan suntikan vaksinasi secara berbayar sejak September lalu menawarkan bayaran antara RM400 hingga RM600 kepada pelanggan.