Polis tahan tiga individu bantu siasatan penyeludupan PATI

Polis menahan tiga individu bagi membantu siasatan berkait aktiviti penyeludupan PATI warga Mynamar dalam dua serbuan berasingan di Pasir Mas pada Isnin.
Polis menahan tiga individu bagi membantu siasatan berkait aktiviti penyeludupan PATI warga Mynamar dalam dua serbuan berasingan di Pasir Mas pada Isnin.
A
A
A

PASIR MAS - Polis menahan tiga individu bagi membantu siasatan berkaitan aktiviti penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Mynamar yang dilakukan dalam dua serbuan berasingan pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, serbuan pertama pada jam 10.30 malam itu menahan seorang lelaki tempatan bersama 16 PATI warga Myanmar dalam sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Siram di sini.

Menurut beliau, pemeriksaan mendapati kesemua PATI membabitkan tujuh lelaki dan sembilan wanita.

"Hasil saringan ujian air kencing mendapati lelaki tempatan itu positif dadah jenis methamphetamine," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Beliau berkata, susulan tangkapan pertama itu, polis menahan sebuah kereta jenis Honda Arccord yang dinaiki oleh seorang lelaki dan wanita di Kampung Siram pada jam 12.20 tengah malam Rabu.

Katanya, pemeriksaan lanjut dalam kereta tersebut menjumpai tiga pil kemerahan disyaki dadah.

"Semakan rekod mendapati lelaki berusia 36 tahun itu positif dadah jenis methamphetamine dan mempunyai lima rekod jenayah lampau berkaitan dadah sementara wanita berusia 27 tahun tiada rekod jenayah.

"Hasil soal siasat suspek pertama tidak mengaku terlibat dengan aktiviti penyeludupan PATI dan mengatakan suspek kedua melakukan kesalahan tersebut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Nasaruddin berkata, suspek kedua pula mengaku dadah yang dirampas adalah miliknya dan menafikan terlibat dengan kegiatan membawa masuk migran.

"Wanita berkenaan menafikan terlibat dengan aktiviti penyeludupan PATI dan hanya baru mengenali suspek kedua. Siasatan lanjut akan diteruskan selepas tempoh reman diperoleh," katanya.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.