X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 27 Januari 2022

Kelantan mungkin kembali ke Fasa Tiga PPN jika rakyat tidak jaga SOP

Mohd Amar
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan negeri tidak menolak kemungkinan Kelantan kembali ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) sekiranya rakyat masih leka dan tidak menjaga prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, semua keputusan bagaimanapun akan ditentukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berdasarkan beberapa ketetapan terutama jumlah kes jangkitan harian.

“Kalau keadaan terlalu genting, mungkin kita terpaksa 'reverse' fasa. Kita tidak tolak kemungkinan itu, namun kita berharap ia tidak berlaku.

“Sebab itu kita ingatkan semua agar mematuhi SOP. Isu besarnya adalah SOP. Penyebaran wabak Covid-19 tidak akan berlaku kalau kita jaga SOP.

“Sebahagian daripada kita agak bersahaja dan leka, ikut suka hendak pakai atau tidak pakai pelitup muka. Penjarakan tidak jaga, berlaku sentuhan dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Kompleks Kota Darul Naim di sini pada Rabu.

Pada awal bulan ini, kerajaan bersetuju supaya Sarawak dan Kelantan beralih ke Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, keputusan itu diambil selepas mengambil kira penilaian risiko semasa yang dilaksanakan KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Mengulas lanjut, Mohd Amar berkata, kerajaan juga bimbang melihat keadaan semasa selepas peralihan fasa baru-baru ini kerana rakyat dilihat terlalu bebas melakukan pelbagai aktiviti dengan melupakan SOP.

Menurut beliau, kerajaan hanya boleh memberi peringatan dan nasihat, manakala tindakan selebihnya adalah daripada diri masyarakat itu sendiri.

“Kalau kita bertegas sangat nanti orang marah. Jadi rakyat kena beri kerjasama yang baik. Kita risau kerajaan Persekutuan terpaksa kembali melakukan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai isu penipuan sijil vaksinasi, Mohd Amar berkata, sehingga kini Kelantan tidak mencatatkan apa-apa aduan mengenai kes tersebut dan berharap ia tidak berlaku pada masa akan datang.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!