Implikasi pengeluaran KWSP mungkin sekitar RM25 bilion sahaja: Asyraf Wajdi

Asyraf Wajdi Dusuki
Asyraf Wajdi Dusuki
A
A
A

SHAH ALAM - Pemuda UMNO mengulangi pendirian berhubung pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara 'one off' sebanyak RM10,000 buat kali terakhir yang diminta rakyat, khususnya kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

Ketua Pemudanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, implikasi pengeluaran tersebut mungkin sekitar RM25 bilion sahaja sebagaimana i-Sinar dan i-Citra.

Beliau turut memetik laporan akhbar berhubung peningkatan keuntungan kasar yang diperoleh KWSP pada tahun 2021.

"Sembilan bulan pertama sehingga September 2021, pendapatan daripada pelaburan kasar sahaja sebanyak RM48 bilion berbanding sembilan bulan pertama sehingga September 2020 iaitu RM44.6 bilion," katanya menerusi hantaran di Facebook beliau pada Rabu.

KWSP pada Selasa dilapor mencatatkan pendapatan pelaburan kasar sebanyak RM48.02 bilion untuk sembilan bulan pertama berakhir 30 September 2021, meningkat 7.7 peratus atau RM3.42 bilion berbanding RM44.60 bilion yang dicatatkan pada tempoh yang sama pada tahun 2020.

Aset pelaburan KWSP setakat September 2021 dilaporkan mencatat sebanyak RM988.55 bilion dan 36 peratus daripadanya dilaburkan ke dalam pelaburan luar negara.

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, KWSP juga tidak perlu untuk mencairkan aset-asetnya berjumlah kira-kira RM356 bilion di luar negara.

"Kalau ikutkan, caruman bulanan yang KWSP terima ialah sebanyak RM6.5 bilion. Setahun RM78 bilion. Setakat pusing yang ini pun, sepatutnya lebih daripada cukup.

Artikel Berkaitan:

"Tambahan lagi empat peratus dari portfolio KWSP iaitu RM39.5 bilion adalah dalam pasaran kewangan (money market). Simpanan tetap, tunai, bil perbendaharaan dan lain-lain. Semua ini boleh dicairkan dalam masa singkat," jelas beliau.

-end-