Tukang rumah mengaku salah rasuah polis

Chee Ming tiba di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Selasa atas pertuduhan cuba merasuah anggota polis.
Chee Ming tiba di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Selasa atas pertuduhan cuba merasuah anggota polis.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang tukang rumah mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas tuduhan cuba merasuah seorang anggota polis dengan memberi suapan RM1,290 pada Mei tahun lalu.

Tertuduh Wong Chee Ming, 32, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Bagaimanapun, hakim meminta tertuduh melantik peguam bagi mengesahkan pengakuan salahnya.

Mengikut kertas pertuduhan tertuduh didakwa secara rasuah memberi satu suapan wang tunai RM1,290 kepada anggota polis berpangkat Lans Koperal berusia 31 tahun di Balai Polis Air Bembam, Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai.

Perbuatan itu dilakukan sebagai dorongan tidak membuat sesuatu yang berhubungan dengan hal ehwal prinsipalnya untuk melepaskan tertuduh dan rakannya daripada menjalani ujian saringan awal air kencing.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta yang sama iaitu jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun, denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Yunus Mohamed manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 14 Februari depan.

Artikel Berkaitan: