Jumlah mangsa banjir di Johor, Melaka terus menurun

Kanak-kanak, Muhammad Amsyar Amran, 10, bermain air banjir di kawasan rumahnya ketika tinjauan di Kampung Lanchang pada Selasa. - Foto Bernama
Kanak-kanak, Muhammad Amsyar Amran, 10, bermain air banjir di kawasan rumahnya ketika tinjauan di Kampung Lanchang pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jumlah mangsa banjir di Johor dan Melaka terus menunjukkan penurunan setakat pagi Rabu.

Di JOHOR, jumlah mangsa mencatatkan 1,227 orang setakat 8 pagi ini berbanding 2,154 orang petang semalam, dengan 26 pusat pemindahan sementara (PPS) masih beroperasi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan berkata, empat daerah masih terjejas banjir dengan Muar merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 547 orang, Segamat (417), Tangkak (182) dan Batu Pahat (81).

Beliau berkata, satu stesen sungai mencatat paras bahaya iaitu Sungai Muar di Bukit Kepong, Muar, manakala satu lagi stesen sungai mencatat paras amaran iaitu Sungai Muar di Buloh Kasap, Segamat.

Katanya, setakat ini, hanya satu daerah di negeri berkenaan dilaporkan mendung iaitu Mersing, namun keadaan cuaca di sembilan daerah lagi iaitu Johor Bahru, Muar, Batu Pahat, Segamat, Pontian, Kluang, Kota Tinggi, Tangkak dan Kulai dilaporkan cerah.

Di MELAKA, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka, Leftenan Kolonel (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata, mangsa banjir di negeri itu berkurangan kepada 69 mangsa daripada 21 keluarga pada jam 8 pagi Rabu berbanding 112 mangsa daripada 33 keluarga pada jam 4 petang Selasa.

Beliau berkata, kesemua mangsa kini ditempatkan di dua PPS di Jasin. - Bernama

Artikel Berkaitan: