X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 01 Julai 2022

[VIDEO] Padah jual beli sijil vaksinasi Covid-19 palsu

Mohd Kamarudin
A
A

SHAH ALAM - Aktiviti penjualan dan pembelian sijil vaksinasi Covid-19 palsu atau secara haram yang mula dikesan sejak awal tahun ini mula mendapat perhatian pihak berkuasa dan kerajaan Malaysia.

Di KUALA LUMPUR, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjalankan risikan dan pemantauan bagi mengesan kumpulan atau individu persendirian yang menjalankan aktiviti penjualan sijil vaksin Covid-19 palsu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Kamarudin Md Din berkata, setakat ini, hanya satu kes dikesan berkenaan aktiviti penawaran sijil vaksin palsu.

“Satu tangkapan dilakukan di Marang Terengganu berkait penawaran sijil vaksin palsu.

“Suspek merupakan seorang pengamal perubatan berusia 51 tahun disyaki menjalankan aktiviti penjualan sijil vaksin Covid-19 tanpa memberikan suntikan vaksin sebenar.

“Suspek sedang direman sehingga Rabu untuk membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Kamarudin berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kegiatan itu digesa untuk menyalurkan maklumat tersebut kepada pihak polis.

“Orang ramai boleh menghubungi balai polis berhampiran atau CCID Scam Response Center di talian 03-2610 1559/1599 agar siasatan lanjut dapat dijalankan,” katanya.

Di KUALA TERENGGANU, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) sedang mengenal pasti individu yang membeli sijil vaksinasi Covid-19 palsu daripada seorang doktor klinik swasta di Marang.

Seorang doktor sebuah klinik swasta berusia 51 tahun (tengah) disambung reman dua hari lagi bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menjual sijil vaksinasi Covid-19 palsu di Mahkamah Majistret Marang, Terengganu pada Selasa.
Seorang doktor sebuah klinik swasta berusia 51 tahun (tengah) disambung reman dua hari lagi bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menjual sijil vaksinasi Covid-19 palsu di Mahkamah Majistret Marang, Terengganu pada Selasa.

Pengarahnya, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, golongan terbabit perlu diberi nasihat serta penjelasan supaya mereka menyedari bahawa tindakan itu boleh mengancam keselamatan awam.

“Aktiviti mengenal pasti pembeli ini perlu dilakukan secara teliti, kami perlu dapatkan maklumat terperinci dan kalau terbukti barulah kami akan ambil tindakan seperti memberi kaunseling,” katanya.

Di KOTA KINABALU, tindakan seorang lelaki dipercayai meminta suapan lebih RM2,000 daripada orang awam untuk tujuan pendaftaran sijil digital vaksinasi di dalam aplikasi MySejahtera pada Oktober tahun lalu membawa padah apabila dia ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Lelaki dipercayai ahli sindiket itu ditahan pada jam 1.30 petang Selasa di Pejabat SPRM Kota Kinabalu susulan operasi di daerah tersebut.

Menurut sumber, lelaki berusia 31 tahun itu dipercayai memberikan wang rasuah yang diterimanya daripada orang awam kepada sukarelawan yang bertugas di salah sebuah pusat pemberian vaksin (PPV) di sekitar negeri ini.

Wang itu sebagai balasan untuk mendaftarkan penama-penama yang tidak menerima suntikan dos vaksin Covid-19 bagi mendapatkan sijil digital vaksinasi di dalam sistem MySejahtera.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan penahanan lelaki terbabit.

“Suspek disiasat mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009. Permohonan reman akan dibuat esok di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu,” jelasnya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!