Tengok jalan raya, kita tahu YB mana buat kerja

Gambar hiasan -Foto 123rf
Gambar hiasan -Foto 123rf
A
A
A

[DIKEMASKINI] SETELAH hampir 16 tahun bekerja, ini kali pertama Merak Jalanan betul-betul dapat merancang untuk bercuti dan berehat sambil menyambut Tahun Baharu di negeri orang. Selalunya habiskan cuti di rumah ataupun di tempat kerja sahaja.

Kali ini Merak Jalanan memilih Sabah sebagai destinasi percutian dan menghabiskan cuti tahun yang tidak terusik.

Merak Jalanan memulakan percutian di Sandakan, Tawau, Semporna, Kota Belud dan Kota Kinabalu.

Sengaja Merak Jalanan memilih jalan darat untuk menerokai negeri cantik itu.

Jika sebelum ini Merak Jalanan hanya mendengar cerita kawan-kawan yang tinggal di pantai timur seperti Terengganu dan Kelantan berkongsi kisah perjalanan mereka dari Kuala Lumpur mengambil masa tujuh hingga lapan jam menggunakan jalan darat. Itu pun sudah terasa jauh sangat.

Kali ini perjalanan Merak Jalanan sendiri mengambil masa 14 jam dari Tawau ke Kota Kinabalu!

Sebenarnya Merak Jalanan sendiri tidak menyangka perjalanan mengambil masa sebegitu lama.

Mujurlah, sepanjang perjalanan yang panjang itu Merak Jalanan disajikan dengan keindahan pemandangan yang sangat indah.

Artikel Berkaitan:

Namun, kenikmatan itu terencat apabila Merak Jalanan terpaksa melalui beberapa kawasan dengan jalan rosak dan berlubang. Beberapa kali kepala Merak Jalanan terhantuk sisi cermin kereta.

Apabila melalui jalan-jalan rosak itu, Merak Jalanan terfikir mengapa wakil rakyatnya tidak membuat sesuatu atau berusaha memastikan kemudahan di kawasan mereka dalam keadaan baik.

Yang peliknya, di beberapa kawasan lain, jalannya selamat dan elok!

Jika wakil rakyat tidak bersuara atau memainkan peranan, kepada siapa lagi rakyat boleh bergantung. Teras keyakinan rakyat bersandarkan kerja keras dan kejujuran wakil rakyat mereka.

Jangan hanya menjadi juara kampung di Dewan Rakyat tetapi di kawasan sendiri tidak berfungsi.