'Soal Anwar tidak relevan, tidak pernah bangkit'

Tangkap layar Prabakaran (tengah) semasa program Game On 2022: Let’s Menang Bersama yang disiarkan di platform Sinar Harian pada Selasa.
Tangkap layar Prabakaran (tengah) semasa program Game On 2022: Let’s Menang Bersama yang disiarkan di platform Sinar Harian pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Kenyataan yang mendakwa Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah tidak relevan sebagai pemimpin parti tidak pernah dibangkitkan, kata Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran.

Beliau berkata, tohmahan itu sering dibangkitkan pihak musuh berikutan tempoh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang semakin hampir.

Menurutnya, PH bersetuju Anwar sebagai Perdana Menteri dan ketua pembangkang dan dalam masa sama, mereka tidak ada masalah dengan parti-parti lain untuk bekerjasama di bawah payung yang sama asalkan agenda dan matlamat selari dengan PH.

“Bagi saya, Anwar memang layak untuk jadi Perdana Menteri dan Malaysia belum pernah beri peluang untuk beliau memimpin kerajaan. Jadi, macam mana kita boleh cakap beliau tidak relevan?

“Beliau seorang pemimpin yang diiktiraf di peringkat antarabangsa. Banyak musuh yang tidak suka Anwar sahaja yang akan menghalangnya menjadi Perdana Menteri.

“Kita perlu percaya dengan kepimpinan Anwar dan dengan keadaan Covid-19 serta krisis ekonomi, individu yang paling layak adalah Anwar untuk memimpin dan beri idea baharu untuk bina semula negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika program Game On 2022: Let’s Menang Bersama yang disiarkan di platform Sinar Harian pada Selasa.

Program itu menyaksikan pertembungan antara Prabakaran bersama pasukan White Tiger dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin dan pasukan Black Wolf dalam e-Sukan Mobile Legend.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, ditanya mengenai faktor kekalahan PH dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Sarawak sebagai indikator untuk Anwar berundur, beliau menafikannya.

"Kita perlu terima kekalahan dan cari strategi baharu untuk pastikan kita menang dalam pilihan raya akan datang. Antara kekangan ketika PRN Melaka adalah capaian internet yang tidak baik terutamanya di kawasan perkampungan.

“Selain itu, prosedur operasi standard (SOP) baharu PRN juga menyebabkan sukar untuk kita menjalankan program. Ada yang buat program di restoran melibatkan penduduk tapi disaman, saya sendiri dapat tiga saman di Melaka.

“Jadi, itu antara faktor yang menyebabkan PH kalah. Memang PH beri peluang kepada anak muda untuk terlibat dalam politik. Mungkin pilihan raya akan datang, kita akan tengok lebih ramai anak muda,” jelas beliau.