Rasuah bagaikan sudah sistematik: Anwar

Anuar - Foto Bernama
Anuar - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kontroversi melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki tidak boleh dianggap remeh kerana melibatkan keseluruhan sistem dalam negara ini.

Menurut Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, isu rasuah bagaikan sudah sistematik sehingga menjalar ke setiap rangkaian.

"Ini isu besar, bukan isu Tan Sri Azam Baki seorang, ia melibatkan seluruh sistem dalam negara kita.

"Bila kita katakan rasuah itu diizinkan dan ada toleransi terhadap rasuah, maknanya seluruh sistem itu terkesan.

"Kita beri contoh dahulu, 1MDB itu tidak mungkin berlaku ke tahap ini tanpa penglibatan institusi dan tokoh-tokoh... SPRM, Peguam Negara dan penguat kuasa.

"Ini termasuk siasatan polis, Bank Negara Malaysia dan para elit serta sebahagian profesor yang menjadi perkakas mendukung pelanggaran peraturan dan rasuah sebegini rupa.

"Ini yang saya simpulkan, apabila ada rasuah skala besar, ia tidak mungkin berlaku kalau tidak diizinkan oleh sistem, dari Perdana Menterinya, Menteri Kewangannya, SPRM, Jabatan Peguam Negara, polis, badan kehakiman, sarjana dan elit... seluruhnya itu terlibat," tegas beliau.

Ujar beliau lagi, sekiranya isu-isu rasuah ini tidak ditangani dengan siasatan yang telus, maka rakyat akan terus menjadi mangsa.

Artikel Berkaitan:

"Kita jangan pandang ringan, negara ini mendapat imej yang begitu buruk.

"Sebab itu saya tidak hairan, kita jerit, kita tuntut, kita sanggah mengapa tidak ada siasatan telus terhadap beberapa laporan sejak awal, puluhan tahun yang lalu.

"Global Financial Integrity (GFI) menyebut pemimpin-pemimpin dulu dan sekarang jadi Perdana Menteri, Menteri Kewangan, jadi Ketua Menteri, kerjanya memunggah kekayaan untuk peribadi simpan di luar negara, siasatan tidak ada," tambah beliau lagi.

Ahli Parlimen Port Dickson itu mendakwa, SPRM bagaikan tidak berfungsi ketika beliau mengetengahkan pelbagai isu berhubung rasuah seperti isu Pandora Papers dan Spanco di Parlimen

"Diluahkan oleh Ketua Pembangkang tetapi tidak mempunyai kesan, apa harapan?

"Saya tidak menjatuhkan hukum, saya kata ada ruang, ada kes untuk dibuka kertas siasatan tapi diberi perlindungan.

"Maknanya sistem politik itu sebenarnya mempunyai talian dan hubung kait dengan kebobrokan rasuah yang berlaku," katanya.

Justeru, beliau menyeru agar SPRM bersifat berwibawa, mempunyai integriti dan menyiasat kes berhubung rasuah tanpa pilih kasih.

Beliau berkata demikian dalam Bicara Anwar Ibrahim yang dikongsikan menerusi platform media sosial, hari ini.

Antara isu berkaitan yang disentuhnya dalam sesi tersebut termasuk Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Pandora Papers, Pengurusan Digital Nasional Berhad (DNB) serta isu Spanco. - Awani