Jelajah 45 negara naik kereta api hasil jual kuih

Mohd Faizal merasai pengalaman menaiki kereta api laju di Shanghai yang bergerak sejauh 431km/ sejam.
Mohd Faizal merasai pengalaman menaiki kereta api laju di Shanghai yang bergerak sejauh 431km/ sejam.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Seorang penyelia teknikal di sebuah syarikat sanggup melepaskan jawatan semata-mata mahu memenuhi hobinya dengan melakukan pengembaraan solo menggunakan kereta api.

Mohd Faizal Che Ani, 48, kini mengusahakan kuih-muih tradisional di mana hasil jualan membolehkannya menjelajah ke 45 buah negara sejak 2012.

Beliau yang sebelum ini bertugas di Pulau Pinang meletakkan sasaran memasarkan sekurang-kurangnya 1,000 biji kuih sehari antaranya popia, lepat pisang, kuih cara dan ketayap.

"Sebelum ini, pendapatan saya kira-kira RM3,000 sebulan namun saya rasa susah jika nak teruskan dengan hobi ini kerana sukar minta cuti sekiranya ingin mengembara, jadi saya ambil keputusan berhenti kerja.

"Hasil yang diperoleh dengan jual kuih ini saya mula menabung dengan harapan mampu meneruskan hobi ini," jelasnya.

Mohd Faizal yang berasal dari Melaka menjelaskan, pengorbanan yang dilakukan 10 tahun lalu akhirnya berbaloi kerana kini berjaya memperoleh pendapatan RM4,000 sebulan di mana RM1,000 daripadanya disimpan untuk hobi tersebut.

Mohd Faizal menabung melalui penjualan kuih yang diusahakan sejak 10 tahun lalu dan antara kuih dihasilkannya bagi menampung kehidupan dan menyimpan tabung untuk aktiviti hobinya.
Mohd Faizal menabung melalui penjualan kuih yang diusahakan sejak 10 tahun lalu dan antara kuih dihasilkannya bagi menampung kehidupan dan menyimpan tabung untuk aktiviti hobinya.

"Setakat ini, saya telah pergi ke 45 buah negara antaranya Kemboja, Vietnam, China, Mongolia, Sri Lanka dan Thailand serta merasai pengalaman menaiki rangkaian kereta api terpanjang di dunia, Trans Siberia yang melintasi hampir keseluruhan Rusia sepanjang 9,200 kilometer.

Artikel Berkaitan:

"Kebiasaannya perjalanan saya mengambil masa antara tujuh hingga 50 hari bergantung kepada lokasi dan jarak serta memerlukan simpanan sehingga RM15,000.

"Selalunya apabila sampai ke sesebuah bandar, saya akan berhenti dan bermalam untuk menikmati keindahan selain mengenali budaya, kehidupan Muslim dan masyarakat setempat sebelum meneruskan perjalanan," ujarnya.

Menurutnya, tidak semua lokasi yang dijelajahinya itu mempunyai perkhidmatan kereta api, di mana dia terpaksa menempuh halangan untuk sampai ke sana.

"Pada 2017, ketika sampai di Bandar Ho Chin Minh, terdapat runtuhan jambatan kereta api dan stesen berdekatan ditutup menyebabkan saya terpaksa menggunakan teksi untuk ke stesen berikutnya.

"Bagaimanapun, pemandu teksi itu mengenakan bayaran RM365 bagi perjalanan kira-kira 30 kilometer berbanding anggaran sebenar RM50, jika tak bayar, dia akan burukkan saya sebagai rakyat Malaysia," jelasnya.

Mohd Faizal berkesempatan melawat masjid di St Peterburg Rusia.
Mohd Faizal berkesempatan melawat masjid di St Peterburg Rusia.

Bagaikan pepatah, 'Jauh perjalanan, luas pemandangan' itulah yang membuatkan Mohd Faizal teruja setiap kali sampai ke sesebuah destinasi biarpun terpaksa menempuh pelbagai dugaan.

Beliau tetap bersyukur sekali pun terpaksa berhabis ribuan ringgit demi hobi tersebut namun telah memupuk sifat menabung, berjimat-cermat dan berusaha gigih bagi mencapai sesuatu matlamat.

"Harapan saya untuk menjelajah ke seluruh Amerika dengan menggunakan kereta api tertangguh akibat pandemik Covid-19.

"Kini perjalanan terbaharu, saya akan ke utara, selatan dan timur seluruh Malaysia serta singgah di sembilan destinasi dalam tempoh 10 hari, bermula Khamis ini," katanya.

Mohd Faizal menjelaskan, kesemua perjalanan dimuat naik menerusi Facebook bernama Bsa Faisal Intl agar perkongsian dan ilmu tersebut membawa manfaat kepada pengikut laman sosial berkenaan.