Thailand kesan virus ASF di pusat penyembelihan

Thailand pada Selasa mengumumkan kes pertama virus African Swine Fever (ASF) yang dikesan di pusat penyembelihan di wilayah Nakhon Pathom. - Foto 123rf
Thailand pada Selasa mengumumkan kes pertama virus African Swine Fever (ASF) yang dikesan di pusat penyembelihan di wilayah Nakhon Pathom. - Foto 123rf
A
A
A

BANGKOK - Thailand pada Selasa mengumumkan kes pertama virus African Swine Fever (ASF) yang dikesan di pusat penyembelihan di wilayah Nakhon Pathom.

Ia pengesahan rasmi pertama negara mengenai penyakit itu.

Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Ternakan, Sorravis Thaneto berkata, satu daripada 309 sampel darah dan swab permukaan yang dikumpul dari 10 ladang dan dua pusat penyembelihan disahkan positif ASF.

“Jabatan Pembangunan Ternakan akan memaklumkan kepada Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (OIE) mengenai penemuan ASF itu,” katanya.

Sorravis berkata, pasukan khas dihantar ke kawasan itu untuk mengesan punca penyakit itu.

Sebelum ini, Reuters melaporkan Thailand sudah bertahun-tahun menegaskan kawanan babinya tidak dijangkiti oleh ASF.

Laporan berita itu berkata, pihak berkuasa mengaitkan kebanyakan kematian babi ternakan berpunca daripada penyakit virus lain, Sindrom Reproduksi dan Pernafasan Porsin (PRRS).

Bagaimanapun, pada 8 Januari, Universiti Kasetsart di Bangkok berkata, makmalnya bulan lepas menemui ASF pada seekor babi peliharaan yang mati dan dibawa pemiliknya untuk ujian makmal.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, jurucakap kerajaan, Dr Thanakorn Wangboonkongchana berkata, kabinet pada Selasa meluluskan 574.11 juta baht untuk membayar pampasan kepada hampir 5,000 penternak di 56 wilayah yang ternakan babi mereka dilupuskan pada 2021 untuk mencegah penularan ASF.

Beliau berkata, hampir 160,000 ekor babi dilupuskan antara Mac dan Oktober lalu. - Bernama