Rakan Sukan: Syarikat swasta perlu diiktiraf berkhidmat untuk negara

Mohamad Norza
Mohamad Norza
A
A
A

BUKAN sahaja atlet, malah syarikat swasta yang terlibat dalam Rakan Sukan perlu diberi pengiktirafan sebagai pihak yang ‘berkhidmat untuk negara’.

Saranan itu dilontarkan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dalam usaha menggalakkan syarikat swasta terlibat secara aktif dalam program itu sekiranya mendapat lampu hijau daripada kerajaan untuk dihidupkan semula selepas ini.

“Kalau kita contohnya, libatkan diri dalam sukan, kita tidak dibayar, lebih kepada berkhidmat untuk negara.

“Perlu ada unsur berkhidmat untuk negara sebab elemen sukan ketara, ia memberi kebahagiaan kepada masyarakat,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat lembaga eksekutif MOM kali ketiga sesi 2021/2025 di sini, pada Selasa.

Beliau berkata demikian selepas dilaporkan mencadangkan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN) bekerjasama dengan badan induk itu dalam mewujudkan semula program Rakan Sukan sebagai usaha membantu sukan negara termasuk atlet yang berdepan masalah pemotongan dana baru-baru ini.

Mohamad Norza yang berharap cadangan itu dibawa ke peringkat kabinet juga berkata mesyuarat MOM pada Selasa berpendapat rayuan perlu dibuat kepada syarikat swasta terutama syarikat yang mendapat margin keuntungan besar semasa pandemik ini untuk kembali membantu komuniti melalui sukan.

Justeru, beliau menyeru kerajaan supaya menawarkan insentif cukai sebagai galakan kepada syarikat swasta untuk terlibat dalam program Rakan Sukan.

Beliau turut mencadangkan agar Jawatankuasa Pembiayaan Penswastaan Majlis Sukan Negara (MSN) diperbesarkan dalam usaha mempromosi idea program itu secara lebih agresif selain berjumpa dengan Kementerian Kewangan bagi melihat senarai data terutamanya syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang pernah mendapat manfaat kerajaan melalui pemberian insentif sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

Melalui cara menyemak data berkenaan, Mohamad Norza berkata, mereka boleh mengenal pasti syarikat yang tidak pernah berada dalam radar kerajaan sebelum ini dan berjumpa mereka sekiranya berminat untuk terlibat dalam program Rakan Sukan.

Ditanya mengenai mekanisme mengelakkan penyelewengan dana program, beliau berkata, pelaksanaan audit sudah semestinya antara cara tuntas bagi mengawal gejala itu dalam memastikan dana diterima diguna sebetulnya oleh persatuan sukan.

Program Rakan Sukan dicetuskan bekas Menteri Belia dan Sukan Tan Sri Abdul Ghani Othman pada 1 Ogos 1994 menyaksikan persatuan sukan digandingkan bersama syarikat-syarikat swasta selain masing-masing menerima jumlah sumbangan minimum RM1 juta setahun.

Mohamad Norza berkata, mesyuarat turut mengambil maklum kertas cadangan kemasukan semula Program Podium ke dalam Rancangan Malaysia ke-12 telah disediakan untuk diangkat ke kabinet.- Bernama