Syamsul pengendali baharu Kelantan United

 Syamsul dilantik sebagai ketua jurulatih baharu pasukan itu bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim ini berkuat kuasa pada Isnin.
Syamsul dilantik sebagai ketua jurulatih baharu pasukan itu bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim ini berkuat kuasa pada Isnin.
A
A
A

KELANTAN United FC (KUFC) melantik Syamsul Saad sebagai ketua jurulatih baharu pasukan itu bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini berkuat kuasa pada Isnin.

Ketua Pegawai Operasi KUFC, Wan Mohd Zul Ikman berkata, pelantikan bekas jurulatih Perak FC II dan pemain kebangsaan itu bagi menggantikan pengendali sebelum ini, Nazrulerwan Makmor.

"Syamsul dipilih membimbing KUFC musim ini kerana beliau mempunyai pengalaman dengan suasana bola sepak negara, malah pernah membimbing pasukan Perlis dan Perak untuk saingan Liga M.

"Kehadiran beliau diharapkan mampu memberi perubahan kepada corak permainan pasukan untuk memberikan saingan sengit kepada pasukan lain yang beraksi dalam Liga-M khususnya Liga Perdana," katanya.

Wan Mohd Zul berkata, pihaknya turut melantik bekas pemain Kelantan, Khairan Eroza Razali sebagai penolong jurulatih bagi memperkasa pasukan itu.

"Jurulatih muda berusia 42 tahun ini mempunyai pengalaman luas dalam saingan Liga-M kerana pernah mewakili beberapa pasukan seperti Kelantan, Pahang dan Pulau Pinang antara 2001 sehingga 2013.

"Gabungan dua jurulatih ini diharapkan dapat memberi impak kepada taktikal pasukan sekali gus mencapai sasaran untuk berada dalam kedudukan lima pasukan terbaik saingan Liga Perdana musim ini," katanya.

Beliau berkata, KUFC mengekalkan khidmat Ismail Chawalit Abu Bakar sebagai jurulatih penjaga gol.

Artikel Berkaitan:

"Pengalaman yang dimiliki Ismail Chawalit amat diperlukan bagi melatih penjaga gol muda pasukan ini, kerana corak latihan diterapkan oleh beliau telah berjaya melahirkan penjaga gol kebangsaan seperti Khairul Fahmi Che Mat," katanya. - Bernama