Permai bantu salur dana kepada mangsa banjir di Malaysia

Ahli-ahli Permai menyerahkan sumbangan dana berjumlah 2,405,368 bath kepada wakil Konsulat Jeneral Malaysia dan wakil media TV3 pada Isnin.
Ahli-ahli Permai menyerahkan sumbangan dana berjumlah 2,405,368 bath kepada wakil Konsulat Jeneral Malaysia dan wakil media TV3 pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Majlis Agama Islam Enam Wilayah Selatan Thailand (Permai) menyalurkan bantuan dana berjumlah 2,405,368 baht bersamaan dengan RM300,000 bagi mangsa-mangsa banjir di Malaysia.

Jawatankuasa Kecil Majlis Agama Islam Wilayah Pattani, Sobri Ahmad berkata, Permai yang merangkumi wilayah Pattani, Narathiwat, Yala, Songkla, Setun dan Phatthalung itu berjaya mengumpul dana melalui kutipan di tabung-tabung masjid dalam masa seminggu sebelum diserahkan kepada Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla, Thailand.

“Kita beri arahan kepada semua masjid supaya kumpul duit sekadar yang mampu, kemudian selepas seminggu kita beri arahan kepada masjid-masjid tersebut supaya serah dana bantuan kepada majlis agama Islam masing-masing seperti Pattani, Narathiwat, Yala, Songkla, Setun dan Phatthalung.

“Pada Isnin, kita serahkan kepada Konsulat Jeneral Malaysia sebelum diserah balik ke Malaysia melalui wakil media TV3.

“Mereka (wakil media TV3 dan Konsulat Jeneral Malaysia) akan menguruskan bagaimana untuk menghantar duit itu ke Malaysia,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Sobri Ahmad
Sobri Ahmad

Mengulas lanjut, Sobri berkata, gerakan mengumpul dana tersebut merupakan peluang baik untuk membalas jasa Malaysia kerana banyak membantu mereka sebelum ini.

“Rakyat Malaysia sudah tolong kami dalam membina masjid-masjid, madrasah, pernah membantu orang susah di selatan Thailand. Banyak anak-anak kita yang belajar di Malaysia dengan bantuan biasiswa juga dibantu.

Artikel Berkaitan:

“Selain itu, ramai rakyat selatan Thailand yang berpayung di bawah ekonomi Malaysia seperti berniaga dan bekerja di sana.

“Sebab itu kami masih ingat budi dan jasa Malaysia yang banyak membantu kami,” ujarnya.

Menurutnya, bencana banjir yang melanda Malaysia baru-baru ini amat besar kesannya sehingga menyebabkan kerugian dan kemusnahan harta benda.

Susulan itu, Sobri berkata, sebagai saudara sesama Islam maka wajib untuk mereka membantu rakyat Malaysia ketika ditimpa musibah besar seperti itu.

“Tetapi dana yang dikumpulkan itu tidak hanya ditujukan kepada orang Melayu sahaja tetapi untuk semua tanpa mengira kaum.

“Kita berdoa kepada ALLAH SWT supaya semua rakyat Malaysia selamat daripada musibah bencana banjir baru-baru ini dan pandemik Covid-19,” menurutnya.