Abu Zahar tidak patut salahkan media, perlu letak jawatan

Tan Sri Johan Jaaffar
Tan Sri Johan Jaaffar
A
A
A

SHAH ALAM - Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Tan Sri Abu Zahar Ujang perlu meletak jawatan sekali gus tidak menyalahkan pihak media berikutan kontroversi yang timbul ekoran sidang medianya pada 5 Januari lalu.

Memetik laporan The Star pada Selasa, tokoh wartawan, Tan Sri Johan Jaaffar menyuarakan kekecewaannya ekoran pihak media dipersalahkan dan menegaskan, tindakan itu adalah tidak wajar dilakukan pengerusi lembaga itu.

"Saya kesal dengan tindakan Abu Zahar Ujang yang menyalahkan media atas kelemahannya sendiri semasa sidang media 5 Januari lalu, malah patut menyalahkan diri sendiri atas kontroversi yang diciptanya.

"Menyalahkan media atas kesalahannya sendiri adalah tidak bertanggungjawab dan tidak wajar dilakukan," tegasnya.

Johan yang juga bekas Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, Abu Zahar bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kesan daripada sidang media berkenaan.

"Oleh yang demikian, beliau juga harus dengan hormatnya meletakkan jawatan serta-merta seperti yang dituntut banyak pihak.

"Kami pihak media dan rakyat mengharapkan sikap akauntabiliti yang tinggi daripadanya.

"Saya sendiri tertanya-tanya mengapa dia menyalahkan media sedangkan enam ahli lembaga itu juga tidak berpendirian sepertinya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu Johan menyifatkan sidang media yang diadakan Abu Zahar pada Selasa sebagai tidak perlu, malah menimbulkan lebih banyak keraguan dan persoalan di kalangan masyarakat.

Terdahulu pada Selasa, Abu Zahar menyalahkan sesetengah media berikutan kontroversi yang timbul daripada sidang media pada 5 Januari lalu apabila beliau mengisytiharkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki tidak melakukan sebarang salah laku berhubung pemilikan saham pada 2015.

Beliau mendakwa sidang media itu tidak dilaporkan sepenuhnya oleh sesetengah media sehingga menyumbang kepada 'persepsi salah' di kalangan masyarakat.

Dalam perkembangan sama, wartawan veteran, Datuk Seri Wong Chun Wai berkata, media harus memainkan peranannya secara adil dan profesional.

"Media sepatutnya berfungsi sebagai pengawas tetapi jangan biarkan kami menjadi kambing hitam," ujarnya.

Beliau turut bersetuju bahawa semua orang tidak boleh diadili atau dibicarakan menerusi laporan media.

"Seseorang harus berhujah mana-mana kes secara persuasif dengan fakta dan angka, bukan dengan ugutan atau ugutan halus," katanya.