90 peratus pengusaha nanas keluar kategori B40

Dr Azman (tiga dari kanan) menyampaikan geran bantuan berjumlah RM1.89 juta kepada wakil pengusaha tanaman nanas Terengganu, Mohd Rusdi Mamat (dua dari kiri) pada majlis penyampaian insentif Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Prihatin Pengusaha Nanas di LPNM Terengganu, pada Selasa. - Foto Bernama
Dr Azman (tiga dari kanan) menyampaikan geran bantuan berjumlah RM1.89 juta kepada wakil pengusaha tanaman nanas Terengganu, Mohd Rusdi Mamat (dua dari kiri) pada majlis penyampaian insentif Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Prihatin Pengusaha Nanas di LPNM Terengganu, pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

SETIU - Kajian Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) mendapati 90 peratus pengusaha nanas yang dilahirkan hasil program LPNM, berjaya memperoleh purata pendapatan RM5,000 sebulan, sekali gus mengeluarkan mereka daripada kategori kumpulan isi rumah berpendapatan rendah (B40).

Ketua Pengarah LPNM, Mohd Khairuzamri M Salleh berkata, data itu diperoleh daripada hasil kajian impak melibatkan 1,500 pengusaha nanas, di seluruh negara.

“Setiap tahun, LPNM berjaya membangunkan 1,000 pengusaha nanas dan sepanjang tempoh lima tahun Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11), kita berjaya membangunkan 5,000 pengusaha tanaman itu.

“Sasaran untuk RMK12 pula ialah meningkatkan purata pendapatan pengusaha nanas daripada RM5,000 kepada RM8,000, untuk meletakkan mereka dalam kumpulan M40,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perasmian program penyampaian insentif Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Prihatin Pengusaha Nanas, yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian Industri Makanan Perladangan Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu, Dr Azman Ibrahim di sini, pada Selasa.

PRE Prihatin Pengusaha Nanas adalah satu peruntukan tambahan kepada LPNM melalui Kementerian Pertanian Dan Industri Makanan (MAFI), yang telah disalurkan pada pertengahan 2020 bagi merangsang ekonomi sektor industri nanas disebabkan pandemik Covid-19.

Sebanyak RM13 juta telah disalurkan, yang memanfaatkan 5,000 orang yang terlibat dalam rantaian industri nanas, terdiri daripada pekebun, pengangkut dan penjual, pengeksport, usahawan pemasar serta usahawan industri asas tani.

Sementara itu, Dr Azman berkata, sebanyak RM328,555 peruntukan PRE Prihatin telah disalurkan sehingga kini melibatkan insentif bantuan dan peralatan seperti set mesin pam semburan serta insentif lori pengangkut.

Artikel Berkaitan:

“Bagi pembangunan tanaman nanas, Terengganu menerima peruntukan sebanyak RM1.5 juta di bawah skop Projek Pengukuhan Tanaman Nanas Bernilai Tinggi serta lain-lain peruntukan melibatkan ladang kontrak serta industri kecil dan sederhana,” katanya.-- Bernama