Bursa Malaysia ditutup tinggi disokong lonjakan saham kewangan

Sokongan belian berterusan dalam kaunter perkhidmatan kewangan terpilih yang diterajui Maybank dan Hong Leong Bank melonjakkan Bursa Malaysia untuk ditutup pada paras tertinggi intra harinya bagi hari kedua berturut-turut pada Selasa di tengah-tengah prestasi bercampur-campur bursa serantau.Gambar hiasan
Sokongan belian berterusan dalam kaunter perkhidmatan kewangan terpilih yang diterajui Maybank dan Hong Leong Bank melonjakkan Bursa Malaysia untuk ditutup pada paras tertinggi intra harinya bagi hari kedua berturut-turut pada Selasa di tengah-tengah prestasi bercampur-campur bursa serantau.Gambar hiasan
A
A
A

SOKONGAN belian berterusan dalam kaunter perkhidmatan kewangan terpilih yang diterajui Maybank dan Hong Leong Bank melonjakkan Bursa Malaysia untuk ditutup pada paras tertinggi intra harinya bagi hari kedua berturut-turut pada Selasa di tengah-tengah prestasi bercampur-campur bursa serantau, kata para peniaga.

Kedua-dua kaunter itu menyumbang gabungan 6.10 mata kepada peningkatan indeks petunjuk pasaran itu.

Pada jam 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 14.12 mata atau 0.91 peratus kepada 1,564.29 daripada paras penutup 1,550.17 mata pada Isnin.

Indeks itu dibuka rendah turun 1.16 mata kepada 1,549.01 dan mencecah paras terendah 1,546.19 pada awal sesi pagi.

Bagaimanapun keseluruhan suasana pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 639 berbanding 356, manakala 398 kaunter tidak berubah, 874 tidak diniagakan dan 15 yang lain digantung.

Jumlah dagangan susut kepada 4.15 bilion unit bernilai RM2.84 bilion daripada 6.65 bilion unit bernilai RM2.38 bilion pada Isnin.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata, FBM KLCI terus berada dalam aliran tinggi berikutan minat belian kukuh terhadap saham perbankan.

“Di peringkat serantau, indeks utama ditutup bercampur-campur apabila para pelabur bimbang dengan peningkatan kes Covid-19 di China dan ketegangan geopolitik apabila ujian peluru berpandu kedua Korea Utara telah mendorong Jepun dan Korea Selatan membangkitkan kebimbangan mereka berhubung perkara itu kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” katanya kepada Bernama pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Nikkei 225 Jepun susut 0.90 peratus kepada 28,222.48, Indeks Hang Seng Hong Kong jatuh 0.03 peratus kepada 23,739.06, Indeks Straits Times Singapura menokok 0.62 peratus kepada 3,247.07 dan Kospi Korea Selatan meningkat 0.02 peratus kepada 2,927.38.

Di pasaran tempatan, Thong berkata, aktiviti belian dijangka berterusan tetapi pengambilan untung juga dijangka berlaku.

“Kami menjangka FBM KLCI diniagakan dalam jajaran kecil dan berlegar sekitar paras 1,545-1,565 bagi tempoh berbaki minggu ini. Dari segi teknikal, paras sokongan segera tidak berubah pada 1,530 manakala paras ketahanan berada pada 1,570,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank meningkat 16 sen kepada RM8.50, Hong Leong Bank menokok 70 sen kepada RM19.90, Public Bank naik 5.0 sen kepada RM4.23, Petronas Chemicals tidak berubah pada RM8.90, manakala CIMB berkurangan 5.0 sen kepada RM5.62 dan IHH Healthcare jatuh 3.0 sen kepada RM6.65.

Dalam kalangan kaunter cergas, AHB Holdings meningkat 3.5 sen kepada 29 sen, DNeX susut 1.0 sen kepada 87.5 sen, MQ Tech turun setengah sen kepada 11.5 sen manakala AT Systematization dan SMTrack tidak berubah masing-masing pada 3.0 sen dan 30 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 56.88 mata kepada 11,287.57, Indeks FBMT 100 meningkat 63.52 mata kepada 10,986.77, Indeks FBM Emas Shariah menambah 9.73 mata kepada 12,036.37, manakala FBM ACE turun 137.22 mata kepada 6,616.67 dan FBM 70 berkurangan 73.35 mata kepada 14,149.01.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 310.80 mata kepada 16,177.13, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 0.57 mata kepada 203.51 manakala Indeks Perladangan naik 37.73 mata kepada 6,768.62.

Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 2.52 bilion saham bernilai RM2.50 bilion berbanding 3.47 bilion saham bernilai RM1.98 bilion pada Isnin.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 283.05 juta unit bernilai RM36.91 juta daripada 248.02 juta unit bernilai RM33.34 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE susut kepada 1.35 bilion saham bernilai RM303.71 juta daripada 2.95 bilion saham bernilai RM360.39 juta sebelumnya.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 479.92 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (576.58 juta), pembinaan (272.36 juta), teknologi (447.23 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (136.98 juta), hartanah (194.45 juta), perladangan (12.45 juta), REITs (6.63 juta), dana tertutup (2,600), tenaga (128.44 juta), penjagaan kesihatan (69.16 juta), telekomunikasi dan media (26.11 juta), pengangkutan dan logistik (144.35 juta) dan utiliti (2.32 juta).-- Bernama