145 individu dari tujuh daerah terima pingat kebesaran

Tengku Laksamana Selangor Tengku Sulaiman Shah (kanan) mengurniakan pingat pada Istiadat Pengurniaan Pingat-Pingat Negeri Selangor Darul Ehsan Bagi Penerima-Penerima Daerah Hulu Selangor, Gombak, Hulu Langat, Kuala Langat, Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Sepang sempena menyambut Ulang Tahun Keputeraan Ke-74 Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.- Foto Bernama
Tengku Laksamana Selangor Tengku Sulaiman Shah (kanan) mengurniakan pingat pada Istiadat Pengurniaan Pingat-Pingat Negeri Selangor Darul Ehsan Bagi Penerima-Penerima Daerah Hulu Selangor, Gombak, Hulu Langat, Kuala Langat, Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Sepang sempena menyambut Ulang Tahun Keputeraan Ke-74 Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.- Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 145 individu menerima pingat kebesaran sempena sambutan Ulang Tahun Keputeraan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj ke-74.

Pingat Pekerti Terpilih (PPT), Pingat Perkhidmatan Cemerlang (PPC), Pingat Jasa Kebaktian (PJK) dan Pingat Perkhidmatan Selangor (PPS) dikurniakan kepada penerima dari tujuh buah daerah.

Istiadat pengurniaan pingat tersebut disempurnakan Yang Amat Mulia Tengku Laksamana Selangor, Tengku Sulaiman Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz di sini pada Selasa.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Haris Kasim serta Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor.

145 penerima terbabit terdiri daripada 20 penerima PPT, 25 (PPC), 64 (PJK), 36 (PPS) dari daerah Hulu Selangor, Gombak, Hulu Langat, Kuala Langat, Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Sepang.

PPT dianugerahkan kepada individu yang melakukan sesuatu perbuatan terbilang dan terpilih pekertinya manakala penerima PPC terdiri daripada pegawai kerajaan dalam kumpulan sokongan sedang atau berkhidmat sekurang-kurangnya tujuh tahun bersama kerajaan negeri dengan cemerlang serta mempunyai kelakuan terpuji

PJK pula dikurniakan kepada individu yang lama berkhidmat dan berjasa untuk Selangor, tekun, taat, mempunyai kebolehan istimewa serta pekerti baik manakala PPS dianugerahkan kepada individu terdiri daripada kakitangan kerajaan sedang atau berkhidmat 20 tahun bersama kerajaan Selangor dengan kelakuan terpuji.

Pengurniaan pingat kebesaran sebelum ini tertangguh susulan penularan Covid-19 bertujuan menghargai jasa dan sumbangan bakti yang dicurahkan kepada masyarakat dan negeri.

Artikel Berkaitan: