Indonesia, India hantar bantuan kemanusiaan ke Afghanistan

Dua pesawat Garuda Indonesia membawa bantuan kemanusiaan termasuk 65 tan makanan berlepas ke Kabul pada awal Ahad. - Foto Ariananews
Dua pesawat Garuda Indonesia membawa bantuan kemanusiaan termasuk 65 tan makanan berlepas ke Kabul pada awal Ahad. - Foto Ariananews
A
A
A

JAKARTA - Indonesia dan India menyertai negara-negara lain dalam membantu rakyat Afghanistan menghadapi keadaan musim sejuk melampau dan kekurangan makanan.

Berikutan arahan Presiden Joko Widodo sebagai respons kepada keadaan yang semakin meruncing di Afghanistan, dua pesawat Garuda Indonesia yang membawa bantuan kemanusiaan termasuk 65 tan makanan berlepas ke Kabul pada awal Ahad.

“Indonesia akan terus memperkukuh dan menyumbang ke arah diplomasi kemanusiaan. Bagi Indonesia, keselamatan dan kesejahteraan rakyat akan sentiasa menjadi keutamaan,” ciap Menteri Luar Retno Marsudi di Twitter.

Sebelum itu, India menghantar dua tan ubat-ubatan penting ke Hospital Indira Gandhi di Kabul, bantuan peringkat ketiga yang dihantar ke negara itu sejak Disember 2021.

Negara itu menerbangkan ubat-ubatan melalui Dubai pada Jumaat lalu, kerana tiada penerbangan terus antara India dan Afghanistan ketika ini, sebelum diserahkan kepada wakil Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

“Dalam beberapa minggu akan datang, kami akan membekalkan lebih banyak kumpulan bantuan kemanusiaan yang terdiri daripada ubat-ubatan dan bijirin makanan kepada Afghanistan,” lapor media dalam talian memetik kementerian hal ehwal luar India.

Bulan lalu, kerajaan India membenarkan penerbangan sewa khas yang mengangkut 1.6 tan ubat-ubatan dan pada 1 Jan menghantar 500,000 dos vaksin Covid-19 ke negara itu.

Kumpulan kemanusiaan bebas, ACAPS berkata, akses kepada perkhidmatan kesihatan adalah sangat mencabar di Afghanistan.

Artikel Berkaitan:

Hampir 90 peratus daripada 2,300 kemudahan kesihatan ditutup selepas pengunduran tentera AS dan penguasaan Taliban ke atas negara itu pada 15 Ogos dan penggantungan bantuan penderma asing.

Data Bank Dunia menunjukkan bantuan asing pernah membentuk hampir 75 peratus daripada perbelanjaan awam Afghanistan.

Selepas 15 Ogos, AS membekukan lebih AS$9 bilion dalam akaun Bank Pusat Afghan di AS, manakala pembiaya utama seperti Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa turut menggantung pengeluarannya.- Bernama