Nelayan Vietnam curi gamat

Rashidilhadi (kiri) menunjukkan sebahagian gamat yang berjaya dirampas semalam.
Rashidilhadi (kiri) menunjukkan sebahagian gamat yang berjaya dirampas semalam.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Nelayan asing semakin nekad menceroboh perairan negara semata-mata ingin 'mencuri' hasil gamat dipercayai kerana harga pasaran tinggi mencecah RM200 sekilogram.

Bagaimanapun, hasrat lima awak-awak warga Vietnam yang menceroboh perairan negara untuk tujuan itu berjaya dipatahkan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Terengganu, semalam.

Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd Rashid berkata, kehadiran mereka dikesan oleh kapal Maritim yang sedang melakukan rondaan Op Iman di Pulau Perhentian, di sini, kira-kira jam 4.13 petang.

"Ketika itu, mereka sedang memukat dan mencari gamat di lokasi dengan menggunakan peralatan khas yang dibawa dan mungkin faktor waktu siang menyebabkan mereka tidak cuba untuk melarikan diri sejurus menyedari kehadiran kami.

"Hasil pemeriksaan di dalam bot, kita berjaya menjumpai hasil gamat seberat kira-kira 20 kilogram dan kita yakin hasil gamat ini akan dijual kepada satu sindiket gamat yang bertanggungjawab membawa dan menjual gamat itu ke luar negara.

"Siasatan juga mendapati sindiket ini akan menjual gamat berkenaan dengan meletakkan harga pasaran agak tinggi sehingga mencecah RM200 sekilogram jika hendak dibandingkan dengan harga tempatan yang hanya RM80 hingga RM100 sahaja," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Maritim Terengganu, di sini, hari ini.

Menurut Rashidilhadi, bot yang digunakan nelayan asing untuk menangkap gamat sama seperti bot nelayan tempatan dan disebabkan itu, kehadiran mereka agak sukar dikesan.

Dalam masa sama, Rashidilhadi berkata, lambakan spesies gamat di perairan Terengganu kerana kelebihan mempunyai banyak pulau menjadi punca nelayan asing gemar menceroboh perairan negeri ini.

Artikel Berkaitan:

Sebelum itu, Rashidilhadi berkata, pihaknya sudah menahan sebuah bot nelayan warga Vietnam kira-kira jam 3.36 petang semalam.

"Hasil pemeriksaan berjaya merampas hasil tangkapan laut, minyak diesel sebanyak 4,590 liter, bot dan peralatan menangkap ikan," katanya.

Jelasnya lagi, kedua-dua bot itu bersama 24 awak-awak termasuk tekong yang berusia antara 15 hingga 53 tahun di bawa ke Jeti Maritim Terengganu untuk siasatan lanjut.

"Pemeriksaan mendapati kesemua mereka tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

"Kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 15(1) (a) 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan Malaysia dan tidak memiliki lesen yang sah," katanya.