Sila log masuk terlebih dahulu.

Sambutan Thaipusam: Polis akan bekerjasama dengan pihak kuil

Mohd Shuhaily
Mohd Shuhaily
A
A
A

GEORGETOWN - Polis akan bekerjsama dengan pihak pengurusan kuih di Pulau Pinang bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) sambutan Thaipusam yang akan disambut pada 18 Januari ini dipatuhi semua pihak.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, susulan kes penularan Covid-19 yang masih aktif ketika ini, pematuhan SOP amat dititik beratkan bagi mengekang penularan pandemik berkenaan.

Menurutnya, SOP bagi sambutan perayaan itu akan diumumkan dengan lebih terperinci oleh agensi berkenaan dalam tempoh terdekat.

"Kita akan bekerjasama dengan pihak pengurusan kuil agar SOP yang ditetapkan dipatuhi oleh semua pihak.

"Pihak kuil juga turut memainkan peranan untuk memaklumkan kepada penganut masing-masing mengenai SOP seperti jumlah (penganut) yang boleh datang dan masuk ke dalam kuil serta lain-lain lagi," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini pada Selasa.

Mengulas lanjut, Mohd Shuhaily berkata, ketika ini pihaknya menerima maklumat berhubung perarakan dua pedati adalah dibenarkan di Pulau Pinang sempena perayaan Thaipusam tahun ini.

"Perarakan pedati dibenarkan dalam kuantiti ditetapkan iaitu tidak lebih daripada 1,000 orang.

"Itu yang telah ditetapkan namun polis akan berbincang dengan pihak kuil agar ia berjalan lancar nanti," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Pengerusi Lembaga Wakaf Hindu Negeri Pulau Pinang (PHEB), P Ramasamy berkata, pihaknya memberi jaminan sambutan perayaan penganut agama Hindu itu akan dijalankan dengan pematuhan SOP yang ketat.

Bagaimanapun menurutnya, sehingga kini, Majlis Keselamatan Negara (MKN) belum mengeluarkan SOP terkini untuk diguna pakai ketika sambutan perayaan itu yang akan disambut pada 18 Januari ini.

Katanya, selepas MKN mengeluarkan SOP nanti, PHEB akan menyelaraskan SOP berkenaan bersama pihak kuil untuk keselamatan semua pihak.

Dalam perkembangan lain, Mohd Shuhaily berkata, pihaknya akan mengambil tindakan lebih tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar SOP pencegahan penularan Covid-19 selepas ini.

Katanya, ia berikutan sebanyak 10 kes Covid-19 melibatkan varian Omicron telah dikesan di Pulau Pinang.

"Kita akan meningkatkan kekerapan rondaan dan penugasan pemantauan SOP, untuk minggu ini kita masih menasihati serta memberi amaran.

"Bagaimanapun, selepas ini, tindakan tegas akan diambil kepada mereka yang ingkar, tiada nasihat ataupun amaran akan diberikan," katanya.