Polis tahan dua beradik, rampas dadah bernilai RM138,607

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

TANGKAK - Polis menahan dua beradik yang dipercayai aktif mengedar dadah sejak November lalu, di sebuah rumah di Sungai Mati di sini, Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Tangkak Superitendan Mohd Fadhil Minhat berkata, pada serbuan antara jam 2.30 petang hingga 3.25 petang itu, dua lelaki berkenaan yang berusia 40 dan 42 tahun, ditahan bersama dadah disyaki jenis heroin dan syabu seberat 4.73 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM138,607.

"Berdasarkan siasatan, kedua-dua lelaki tempatan itu, berstatus duda serta mempunyai rekod lampau berkaitan dadah. Hasil saringan ujian air kencing turut mendapati si abang positif dadah jenis methamphetamine.

"Mereka menjadikan rumah yang didiami sebagai stor penyimpanan dan pembungkusan dadah. Kesemua dadah yang dirampas dipercayai diedar untuk pasaran tempatan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Tangkak, di sini pada Selasa.

Beliau menjelaskan, dadah tersebut iaitu heroin seberat kira-kira 3.8kg bernilai RM45,493 dan syabu anggaran berat 0.93kg bernilai RM93,114 boleh menampung atau digunakan oleh seramai 8,543 orang penagih.

Katanya, selain dadah, polis turut merampas sebuah kenderaan jenis Honda Accord dengan anggaran nilai RM45,000 selain menyita sebuah lagi kenderaan jenis Honda City bernilai kira-kira RM26,000 dan wang tunai RM2,000.

Mohd Fadhil memberitahu, dua beradik itu direman tujuh hari bermula Ahad (9 Januari) sehingga Sabtu (15 Januari) ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ketika ditanya mengenai kes Long Tiger atau nama sebenarnya, Abdul Hamim Ab Hamid, 33, yang melarikan diri dari Mahkamah Tangkak, tanpa mengulas lanjut beliau menjelaskan, lelaki berkenaan masih berada di Penjara Sungai Udang, Melaka.

Artikel Berkaitan:

Pada 15 Disember lepas, Abdul Hamim dipercayai meloloskan diri melalui pintu utama mahkamah sebelum perbicaraan kesnya bermula yang didakwa mengikut Seksyen 388 Kanun Keseksaan kerana pemerasan.- Bernama