Tak sempat hantar dadah, dua sahabat diberkas

Mohd Shuhaily (dua dari kanan) menunjukkan dadah dirampas daripada dua suspek yang ditahan pada Jumaat lalu.
Mohd Shuhaily (dua dari kanan) menunjukkan dadah dirampas daripada dua suspek yang ditahan pada Jumaat lalu.
A
A
A

GEORGETOWN - Dua sahabat gagal menghantar bekalan dadah kepada pelanggan apabila mereka ditahan di tepi jalan di Jalan Masjid Negeri di sini, pada Jumaat lalu.

Suspek yang bekerja sebagai pengusaha kedai makan dan pengawal keselamatan itu ditahan pada jam 7.45 malam bersama 9,828 gram ganja bernilai RM24,570 ketika berada dalam sebuah kereta di lokasi tersebut.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, kedua-dua suspek berusia 51 tahun itu ditahan ketika dalam perjalanan untuk menghantar bekalan dadah susulan kesemua dadah berkenaan ditemui dalam kereta dinaiki mereka.

"Penahanan kedua-dua suspek itu dibuat selepas risikan dan intipan polis sejak sebulan lalu. Hasil pemeriksaan ke atas kereta yang dinaiki suspek, kami menjumpai 10 ketulan mampat ganja seberat 9,828 gram bernilai RM24,570.

"Kedua-dua suspek dipercayai mendapatkan bekalan daripada satu sindiket lain sebelum menjualnya semula kepada pelanggan tetap mereka. Mereka menyasarkan pasaran tempatan dan aktif sejak tahun lalu," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini, pada Selasa.

Menurutnya, selain dadah, polis turut merampas wang tunai bernilai RM35,140 dan menyita sebuah kereta bernilai RM30,000.

"Ujian saringan air kencing salah seorang daripada suspek positif dadah. Mereka direman enam hari untuk membantu siasatan.

"Kesemua dadah yang dirampas boleh digunakan 18,656 penagih dadah jika terlepas ke pasaran. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel Berkaitan: